
Himpunan bertemakan ‘Himpunan Perdana Nasional: Malaysia Bangkit untuk Gaza’ itu dianjurkan kumpulan Humanity for Gaza dengan sokongan pemimpin pelbagai parti politik.
Pengarah Malaysia Bangkit 4 Gaza, Apandi Mohamad, berkata peserta akan mula berkumpul seawal 4 petang di beberapa lokasi utama seperti Pasar Seni, Masjid Negara, dan Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, sebelum berarak ke Dataran Merdeka.
Katanya, himpunan itu bertujuan menyatukan rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang dan fahaman politik bagi menentang kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin.
Pengerusi Humanity for Gaza, Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, berkata pihaknya berharap himpunan itu dapat memaparkan perpaduan merentasi batas kaum, agama, dan politik dalam mengutuk tindakan rejim Zionis.
“Rakyat Malaysia mesti bersatu demi keadilan dan keamanan. Ini bukan sekadar isu Palestin, tetapi isu kemanusiaan,” katanya pada sidang media yang turut dihadiri antaranya bekas Ahli Parlimen Batu, Tian Chua.
Malaysia sejak sekian lama menyuarakan sokongan padu terhadap Palestin, dengan beberapa siri himpunan besar diadakan dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini bagi membantah tindakan Israel di Gaza.
Dalam video dimuat naik minggu lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyeru pemimpin dunia bertindak segera mendesak pencerobohan Israel di Gaza dihentikan.
Anwar turut merayu Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, supaya menggunakan pengaruhnya menekan Israel supaya menghentikan serangan dan memastikan bantuan kemanusiaan sampai kepada mereka memerlukan.