KPM gantung 4 pelajar, 14 diberi amaran kerana bergaduh

KPM gantung 4 pelajar, 14 diberi amaran kerana bergaduh

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata pelajar yang digantung persekolahan akan mengikuti program khidmat masyarakat.

fadhlina
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata tindakan itu diambil bagi memastikan ekosistem selamat dan kesejahteraan warga sekolah secara keseluruhan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Empat pelajar digantung persekolahan dan 14 lagi diberi surat amaran kerana terbabit dalam satu pergaduhan di sekolah yang tular di media sosial baru-baru ini.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek yang melawat sekolah itu pagi ini bagi mendapatkan maklumat penuh kejadian, lapor Berita Harian.

Katanya, tindakan itu diambil bagi memastikan ekosistem selamat dan kesejahteraan warga sekolah secara keseluruhan.

“Kita tidak berkompromi dengan isu yang boleh menjejaskan keselamatan institusi pendidikan, susulan insiden pergaduhan di sebuah sekolah yang tular di laman sosial.

“Tindakan tegas diambil selaras dengan prosedur disiplin yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM),” katanya.

Beliau berkata, murid yang digantung persekolahan akan mengikuti program khidmat masyarakat kelolaan pejabat pendidikan daerah.

“Sesi kaunseling turut dilaksanakan sebagai intervensi untuk membimbing murid mengubah tingkah laku mereka menerusi penerapan nilai-nilai murni,” katanya.

Kejadian tersebut menjadi perhatian selepas seorang pempengaruh media sosial memuat naik video sekumpulan pelajar lelaki bergaduh, dipercayai berlaku di dalam tandas sekolah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.