
Dalam jawapan bertulis dimuat naik ke laman sesawang Parlimen, MoF berkata, prinsip bagi pelaksanaan HVGT itu diterapkan dalam kajian semula cukai jualan bermaksud barang mewah dan pilihan dikenakan cukai pada kadar 5% atau 10%.
Ia menjawab soalan Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) mengenai unjuran penambahan pendapatan negara hasil daripada pelaksanaan reformasi fiskal, termasuk pengenalan HVGT, cukai barangan digital (DGT), cukai keuntungan modal (CGT), cukai barang bernilai rendah (LVG) dan peluasan cukai SST serta rasionalisasi subsidi yang sedang dan bakal dilaksanakan.
Cadangan HVGT pertama kali diperkenalkan dalam pembentangan semula Belanjawan 2023 pada Februari 2023.
HVGT berjulat 5% dan 10% pada mulanya dirancang dilaksanakan menjelang Mei 2024 dan kerajaan menjangka tambahan RM700 juta dikutip setiap tahun daripada cukai itu.
Namun, kerajaan ketika itu memaklumkan ia memerlukan masa untuk berunding dengan pihak berkepentingan bagi memastikan pelaksanaan HVGT dapat dijalankan dengan berkesan tanpa menjejaskan ekonomi.
Sementara itu, MoF berkata, kerajaan telah mengambil beberapa langkah di bawah cukai langsung dan tidak langsung untuk mengukuhkan kutipan hasil negara.
Antaranya, pelaksanaan CGT yang bermula 1 Mac 2024.
“Berdasarkan jumlah dan nilai urus niaga semasa bagi saham tidak tersenarai, kerajaan menganggarkan kutipan hasil sekitar RM800 juta setahun.”
Semakan kadar cukai jualan dan peluasan skop cukai perkhidmatan yang mula berkuat kuasa 1 Julai lalu juga dijangka memberi pertambahan hasil RM5 bilion tahun ini dan berganda kepada RM10 bilion tahun depan.
Dalam pada itu, penyasaran subsidi diesel setakat ini menjana penjimatan dana kerajaan sehingga RM600 juta sebulan.
Pelaksanaan LVG berkuat kuasa 1 Jan 2024 mencatatkan kutipan cukai sekitar RM500 juta tahun lalu.