‘Detik bersejarah’, Dewan Rakyat lulus RUU wajib pendidikan menengah

‘Detik bersejarah’, Dewan Rakyat lulus RUU wajib pendidikan menengah

RUU pinda Akta Pendidikan itu disokong Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang, disifatkan reformasi penting dalam sistem pendidikan negara.

classroom
Dengan pindaan baharu Akta Pendidikan, setiap ibu bapa harus memastikan anak mereka berdaftar dan kekal jadi pelajar sepanjang tempoh pendidikan menengah.
KUALA LUMPUR:
Sistem pendidikan negara membuka lembaran baharu apabila Rang Undang-Undang (RUU) Pendidikan (Pindaan) 2025, bertujuan mewajibkan pendidikan menengah, diluluskan Dewan Rakyat malam ini.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek ketika menggulung perbahasan RUU itu menyifatkan pindaan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) sebagai satu detik bersejarah dan amat penting dalam pembangunan modal insan menerusi sistem pendidikan negara.

“Pendidikan ini hak kelahiran setiap anak-anak, maknanya setiap anak-anak ini lahir dengan hak untuk mendapat pendidikan,” katanya.

Terdahulu, ketika sesi perbahasan RUU itu, Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang menyokong pindaan itu, menyifatkannya sebagai reformasi penting dalam sistem pendidikan negara.

Cha Kee Chin (PH-Rasah) berkata, inisiatif itu satu reformasi pendidikan yang bermakna dalam usaha melonjakkan mutu pendidikan dan pembangunan modal insan negara.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada kerajaan Madani atas inisiatif berani tersebut dan berpandangan langkah itu sepatutnya dilaksanakan lebih awal bagi memastikan setiap anak mendapat pendidikan sewajarnya.

“Ia akan membolehkan pembinaan modal insan diangkat ke satu tahap yang lebih tinggi daripada sebelumnya, supaya kita setaraf dengan negara-negara lain.

“Bayangkan kita hanya ada pendidikan wajib enam tahun, macam mana nak jadi negara maju?”

Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) berkata, pendidikan menengah wajib mampu memutuskan kitaran kemiskinan dan memperkukuh pemikiran kritis.

Selain itu, ia dapat meningkatkan kebolehpasaran pelajar dan kemahiran berkomunikasi untuk menyertai ekonomi dan masyarakat, tambahnya.

Menurut Ahmad Johnie Zawawi (GPS-Igan), usaha ini tepat pada masanya untuk membina generasi berilmu, berdaya saing dan memiliki nilai karamah insaniah seperti terkandung dalam Falsafah Pendidikan Negara.

Pindaan akta itu, katanya, membuktikan komitmen kerajaan untuk menjamin hak pendidikan setiap anak hingga ke tahap minimum SPM atau kelayakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) setara yang diiktiraf kerajaan.

Teresa Kok (PH-Seputeh) pula berkata, kementerian perlu menyelami punca sebenar keciciran seperti pendapatan rendah memandangkan kos tidak langsung pendidikan masih membebankan ibu bapa miskin.

RUU itu antara lain bagi memasukkan seksyen baharu 32A yang memperuntukkan setiap ibu bapa yang anaknya merupakan warganegara dan tinggal di Malaysia, hendaklah memastikan mereka didaftarkan sebagai murid di institusi pendidikan menengah dan terus menjadi murid sepanjang tempoh pendidikan menengah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.