
Dalam kenyataan,Lau berkata, Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi mempertahankan pemansuhan tol berkemungkinan memberi kesan kewangan berbilion ke atas kos penyelenggaraan, sekali gus membuktikan janji PH hanya ‘kata-kata dongeng’.
“Walaupun Anwar Ibrahim diberikan tambahan (kuasa) lima tahun lagi, ia tidak akan mengubah hakikat tempoh konsesi syarikat lebuh raya terus dilanjutkan.
“Pemimpin PH sebelum ini menyatakan pemansuhan tol akan dilaksanakan secara berperingkat, bermula dengan pengurangan kadar tol, namun realitinya mereka melanjutkan tempoh kutipan tol.
“Ini jelas merupakan satu penipuan terbuka terhadap rakyat,” katanya.
Nanta dalam sidang Parlimen semalam berkata pemansuhan tol tidak mudah dilaksanakan dan kaedah menangguhkan kadar tol dilihat lebih praktikal serta realistik.
“Jadi, pandangan saya sekarang kita tak perlu mansuhkan cuma kalau tempoh syarikat-syarikat (konsesi) ini capai keuntungan atau ‘return on investment’, kadar tol dikatakan membebankan sekarang diturunkan,” katanya.
Menurut manifesto ‘Tawaran Harapan’ dilancarkan PH pada November 2022 menjelang PRU15, ‘pentadbiran Harapan bertekad untuk terus mengurangkan tol PLUS secara berperingkat dengan matlamat akhir menghapuskan tol dan mengembalikan lebuh raya PLUS kepada pemilikan awam’.