
Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad, berkata pihaknya sedar dengan semakan kehakiman itu dan menghormati proses perundangan sedang berjalan.
“Saya sangat memahami dan sedar akan semakan kehakiman yang mereka buat seperti yang telah dikenakan semakan kehakiman Akta 852 (Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024).
“Saya menteri menerima dan tiada masalah untuk kita dengar semakan kehakiman. Kita akan teruskan penguatkuasaan pendidikan seperti advokasi, penerangan dan pencerahan supaya tak ada kelompongan,” katanya pada sidang media.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis perasmian Persidangan Penilaian Teknologi Kesihatan Kebangsaan 2025 dan Sambutan Ulang Tahun ke-30 Cawangan Penilaian Teknologi Kesihatan (MaHTAS) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.
Terdahulu, media melaporkan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) bersama tujuh yang lain memohon kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar peraturan mewajibkan kemudahan jagaan kesihatan swasta mempamerkan harga ubat-ubatan.
Pemohon lain adalah Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Sabah (APPS), Persatuan Kemajuan Perubatan Fungsian dan antara Disiplin Malaysia (Maafim), Pertubuhan Doktor-doktor Islam Malaysia (Perdim) serta Gabungan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM).
Turut memfailkan permohonan sama Persatuan Pengamal Pergigian Swasta Malaysia (MPDPA), Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Sarawak (SPMPS) dan seorang pengamal perubatan yang mengendalikan klinik di Lahad Datu, Dr Saifulbahri Ahmad @ Mohd Zailani.
Berdasarkan permohonan difailkan menerusi firma guaman Tetuan Ngeow Law Practice pada 25 Julai lalu, mereka menamakan menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup, menteri kesihatan dan kerajaan Malaysia selaku responden pertama hingga ketiga.
Dalam perkembangan lain, Dzulkefly berkata kerajaan sedang meneliti cadangan mengharamkan rokok elektronik atau vape.
Beliau bagaimanapun berkata pihaknya tidak mahu tergesa-gesa dalam mengharamkan vape berikutan mengambil pertimbangan terhadap semua kesan.
“Saya ambil perhatian tetapi tak mahu lakukan segalanya terlalu gopoh gapah. Kita ambil penuh serius dan perlu melalui penelitian dan pertimbangan kesan perundangan serta kesihatan awam,” katanya.
Setakat ini, Johor dan Kelantan melarang sepenuhnya jualan produk rokok elektronik, sementara Kedah tidak lagi mengeluarkan lesen untuk kedai rokok elektronik.
Terengganu dan Perlis akan mengharamkan penjualan produk rokok elektronik bermula 1 Ogos.