13 warga asing menyamar penumpang baharu ditolak kemasukan di KLIA

13 warga asing menyamar penumpang baharu ditolak kemasukan di KLIA

Semua warga asing itu diarahkan menjalani pemeriksaan lanjut di pejabat imigresen tetapi menukar baju dan masuk ke kumpulan yang baru tiba.

klia
Unit Pemantau Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan berkata 13 warga asing yang ditolak kemasukan itu terdiri daripada sembilan warga India dan empat warga Pakistan. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Cubaan 13 warga asing menyamar sebagai penumpang baharu untuk melepasi pemeriksaan Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) Terminal 2 berjaya dipatahkan Unit Pemantau Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), semalam.

Dalam kenyataan, AKPS memaklumkan mereka terdiri daripada lapan lelaki dan seorang wanita warga India serta empat lelaki warga Pakistan yang dikesan cuba menyusup semula ke barisan pemeriksaan selepas diarahkan menjalani pemeriksaan lanjut di pejabat operasi imigresen.

Katanya, semua 13 individu itu ditahan dan ditolak kemasukan ke negara ini.

“Mereka adalah daripada 270 warga asing yang diperiksa. Mereka dipercayai menukar pakaian di kawasan transit dan menyamar sebagai penumpang yang baru tiba bagi mengaburi pihak berkuasa,” menurut kenyataan itu.

AKPS memaklumkan taktik itu terbongkar hasil pemantauan rapi dan kecekapan pasukan AKPS yang bertindak pantas mengesan pergerakan mencurigakan sebelum warga asing berkenaan sempat melepasi kawalan imigresen.

“Sebagai tindakan pencegahan, AKPS akan memperketat pemantauan di kawasan transit melalui rondaan lebih kerap, pemantauan kamera litar tertutup (CCTV) serta prosedur saringan lebih ketat bagi mengekang cubaan penyamaran,” menurut kenyataan itu.

AKPS turut menyeru semua pihak di KLIA agar terus berwaspada dan menyalurkan maklumat sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan demi menjamin keselamatan dan integriti pintu masuk negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.