13 Ahli Parlimen kerajaan dilantik jadi ‘Friends of Ministry’ Kesuma

13 Ahli Parlimen kerajaan dilantik jadi ‘Friends of Ministry’ Kesuma

Ahli Parlimen terlibat akan terima akses kepada bahan penyelidikan serta sesi libat urus untuk perkukuh peranan mereka di Dewan Rakyat.

steven sim
Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata, Ahli Parlimen dilantik jadi ‘Friends of Ministry’ Kesuma main peranan strategik beri pandangan, sumbang idea dan cadangan kepada kementerian itu.
KUALA LUMPUR:
Sebanyak 13 Ahli Parlimen kerajaan dilantik sebagai ‘Friends of Ministry’ Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) sebagai langkah strategik memperkasakan hubungan antara kementerian dengan Ahli Parlimen.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata, langkah itu juga bagi memastikan dasar serta inisiatif kementerian dapat disampaikan dengan lebih berkesan kepada masyarakat.

“Ahli-ahli Parlimen yang dilantik itu akan menerima akses kepada bahan penyelidikan, taklimat dasar serta sesi libat urus berkala bagi memperkukuh peranan mereka semasa sesi pertanyaan lisan dan perbahasan di Dewan Rakyat, selain mempertingkatkan keterlibatan bersama masyarakat,” katanya.

Ahli-ahli Parlimen terpilih terdiri daripada Mohd Shahar Abdullah (Paya Besar) yang juga ketua penyokong kerajaan Madani; Mordi Anak Bimol (Mas Gading); Dr Kelvin Yii Lee Wuen (Bandar Kuching); Chong Chieng Jen (Stampin); Ramkarpal Singh (Bukit Gelugor); dan V Sivakumar (Batu Gajah).

Turut dilantik, Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau); P Prabakaran (Batu); Shamshulkahar Mohd Deli (Jempol); M Saravanan (Tapah); Ahmad Johnie Zawawi (Igan); Wong Shu Qi (Kluang); dan Syerleena Abdul Rashid (Bukit Bendera).

Melalui kerjasama itu, Sim berkata, Ahli Parlimen berkenaan memainkan peranan sebagai rakan strategik dalam memberi pandangan, menyumbang idea dan cadangan, memperjuangkan dasar, rang undang-undang dan usul berkaitan dikemukakan kementerian itu serta membantu membina naratif positif berhubung agenda reformasi pasaran buruh dan menyampaikan maklumat kepada rakyat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.