Tangguh kenaikan kadar tol lebih praktikal berbanding mansuh, kata menteri

Tangguh kenaikan kadar tol lebih praktikal berbanding mansuh, kata menteri

Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi berkata pemansuhan tol memerlukan kerajaan berbelanja berbilion ringgit untuk penyelenggaraan.

Pada 23 Julai lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan penangguhan kenaikan tol bagi memastikan rakyat terus menikmati kadar sedia ada.
PETALING JAYA:
Langkah memansuhkan tol berbanding menangguhkannya mungkin menyebabkan kerajaan terpaksa berbelanja besar dari segi penyelenggaraan,” kata Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi.

Dalam jawapan pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, Nanta berkata perkara itu tidak mudah dilaksanakan dan kaedah menangguhkan kadar tol dilihat lebih praktikal serta realistik.

Alexander Nanta Linggi.

Menurutnya, penjimatan itu boleh disalurkan kepada rakyat yang tidak menggunakan tol seperti di Sabah, Sarawak dan Terengganu.

“Bukan mudah nak hapuskan tol ini kerana kalau tol ini dimansuhkan kerajaan mesti pastikan cari dana besar untuk kerja penyelenggaraan.

“Jadi pandangan saya sekarang kita tak perlu mansuhkan cuma kalau tempoh syarikat-syarikat (konsesi) ini capai keuntungan atau return on investment, kadar tol dikatakan membebankan sekarang diturunkan,” katanya menjawab soalan tambahan Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN–Besut).

Che Mohamad membangkitkan isu memansuhkan tol yang dijanjikan dalam kempen PRU15.

Dalam pada itu, Alexander berkata penangguhan kenaikan kadar tol di 10 lebuh raya memberi manfaat kepada hampir sejuta pengguna iaitu sebanyak 941,000.

Beliau berkata kerajaan juga membayar pampasan sebanyak RM568.92 juta kepada syarikat konsesi.

“Kita berharap penangguhan kenaikan kadar tol ini sedikit sebanyak dapat meredakan kos sara hidup rakyat terutamanya bagi pengguna kerap menggunakan lebuh raya dalam urusan harian dan berulang alik ke tempat kerja,” katanya.

Pada 23 Julai lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan penangguhan kenaikan tol bagi memastikan rakyat terus menikmati kadar sedia ada.

Antara 10 lebuh raya yang terlibat dalam penangguhan kenaikan kadar tol bagi 2025 ialah Lebuhraya Cheras-Kajang (Grand Saga), Lebuhraya KL-Kuala Selangor (LATAR), Lebuhraya Pintas Selat Klang Utara Baru (NNKSB) dan Lebuhraya Senai-Desaru (SDE).

Turut terlibat Lebuhraya Pantai Timur Fasa II (LPT2), Lebuhraya Klang Selatan (SKVE), Jambatan Sultan Abdul Halim Muazzam Shah (JSAHMS), Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX) dan Lebuhraya Lingkaran Luar-Butterworth (LLB).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.