Pendapatan KWSP turun tiada kaitan dengan penjualan aset luar negara

Pendapatan KWSP turun tiada kaitan dengan penjualan aset luar negara

Kementerian Kewangan kata penurunan 13% pada suku pertama tahun ini berpunca daripada prestasi pasaran ekuiti yang lemah.

KWSP EPF
Ekuiti penyumbang utama kepada pendapatan pelaburan KWSP, mewakili 59% daripada jumlah pendapatan pelaburan pada suku pertama 2025.
PETALING JAYA:
Penurunan jumlah pendapatan pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tiada sebarang kaitan dengan penjualan aset luar negara, menurut Kementerian Kewangan (MoF).

MoF menerangkan penurunan sebanyak 13% pada suku pertama tahun ini, kepada RM18.31 bilion berbanding RM20.99 bilion bagi tempoh sama tahun lepas, berpunca daripada prestasi pasaran ekuiti yang lemah.

Katanya, penurunan tiada kaitan dengan penjualan aset luar negara yang bertujuan mendukung nilai ringgit dan pelaburan lebih besar dalam pasaran ekuiti domestik.

“Keadaan ini berpunca daripada ketegangan perdagangan global yang semakin meningkat dan dasar perdagangan Amerika Syarikat yang tidak menentu,” menurutnya, lapor Bernama, dalam jawapan bertulis di laman Parlimen.

“Walaupun beberapa bank pusat telah mula melonggarkan dasar monetari, kebimbangan terhadap ketidakstabilan politik global, ketidakseimbangan fiskal dan konflik serantau terus melemahkan sentimen pasaran dan menjejaskan keyakinan pelabur.”

MoF menjawab soalan Zulkafperi Hanapi (Bebas-Tanjong Karang) berhubung faktor utama yang menyumbang kepada penurunan pendapatan seperti yang dinyatakan dalam laporan KWSP dan sama ada ia berkait dengan penjualan aset luar negara KWSP.

Menurut MoF, kesan daripada keadaan semasa dapat dilihat pada pulangan KWSP daripada pelaburan ekuiti yang merosot 2%, kepada RM10.81 bilion pada suku pertama 2025 berbanding RM14.02 bilion pada suku pertama 2024.

“Untuk makluman, ekuiti merupakan penyumbang utama kepada pendapatan pelaburan KWSP, mewakili 59% daripada jumlah pendapatan pelaburan pada suku pertama 2025.

“Namun demikian, KWSP akan terus mengamalkan pendekatan pelaburan yang berdisiplin dan berpandukan Alokasi Aset Strategik (SAA) untuk memastikan prestasi pelaburan yang mampan dapat dikekalkan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.