
Hakim Azhar Abdul Hamid menjatuhkan hukuman itu terhadap bekas juruteknik Palwinder Singh, 28, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap tertuduh di akhir kes pembelaan.
“Pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah. Oleh itu, tertuduh didapati bersalah bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dijatuhi hukuman penjara 35 tahun dan 12 sebatan. Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 6 Okt 2022,” kata hakim itu.
Palwinder didakwa membunuh teman wanitanya berusia 36 tahun di sebuah bilik hotel di Jalan Alor, Bukit Bintang pada 8.30 malam hingga 9.20 malam, 6 Okt 2022.
Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Syajaratudur Abd Rahman.
Peguam K Viknesvaran memohon hukuman penjara atas alasan ia kesalahan pertama anak guamnya selain dia telah menyesal.
Dua saksi pembelaan memberi keterangan di mahkamah pada perbicaraan bermula pada 8 Nov 2024.