‘Langkah Kinabalu’ demi jawatan bukan rakyat, kata Adun Kunak

‘Langkah Kinabalu’ demi jawatan bukan rakyat, kata Adun Kunak

Norazlina Arif berkata pimpinan Warisan dakwa parti itu akan dapat empat hingga lima jawatan menteri Kabinet Sabah jika sokong Bung Moktar Radin.

Norazlinah Arif
Norazlina Arif berkata beliau dan beberapa rakan Adun Warisan merasakan Langkah Kinabalu bukan perkembangan sihat. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang Adun Sabah mendedahkan ‘Langkah Kinabalu’ pada Januari 2023 bukan usaha membela rakyat sebaliknya memenuhi cita-cita pemimpin tertentu untuk menjadi menteri.

Mengimbau peristiwa itu, Adun Kunak Norazlina Arif berkata ramai wakil rakyat Warisan terkejut sebaik diberitahu rancangan menjatuhkan kerajaan diketuai Hajiji Noor memandangkan tiada perbincangan dibuat.

Katanya, ada mempersoalkan mengapa parti boleh menyokong Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin sebagai ketua menteri dan bukan Hajiji.

“Kami diberitahu kalau sokong Hajiji hanya dapat dua kerusi menteri tetapi kalau Bung boleh dapat 4-5 (jawatan menteri)…kita pun tahu siapa mereka ini (mahu dilantik menteri).

“Jadi usaha menjatuhkan kerajaan ini bukan tentang kami dan rakyat tetapi mereka duduk di depan yang mahu jawatan menteri,” katanya dalam sebuah program audio siar.

Norazlina berkata, keadaan itu menyebabkan dirinya serta wakil rakyat Warisan lain merasakan perkara terbabit sebagai tidak sihat.

“Bila tidak jadi, ada lagi Langkah Kinabalu 2.0…dimaklumkan selepas dua minggu kita buat lagi.

“Apabila melihat itu saya dan beberapa kawan bercerita, kami kata ‘no’…perkara itu tidak boleh dibenarkan dan perlu untuk perkuatkan kerajaan sedia ada,” katanya yang keluar Warisan pada 6 Feb 2023 untuk menyokong pentadbiran Hajiji.

Pada 2023, Umno dan Warisan dilaporkan bekerjasama dalam episod ‘Langkah Kinabalu’ untuk cubaan menjatuhkan kerajaan Hajiji.

Usaha itu tidak berhasil malah menyebabkan Bung dipecat sebagai timbalan ketua menteri.

Selain beberapa Adun Umno dan semua wakil rakyat GRS, Hajiji turut disokong Pakatan Harapan (PH).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.