
Dalam jawapan ringkas kepada FMT, Ahli Parlimen Pasir Mas itu juga menyerahkan siasatan kepada polis susulan telah ada laporan dibuat pelbagai pihak.
“Saya serahkan kepada polis sebab sudah ada laporan. Saya tidak berhasrat minta maaf,” katanya.
Terdahulu, Ketua Pemuda PKR Muhammad Kamil Abdul Munim menggesa Fadhli memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Thailand dan Kemboja susulan kenyataan dan hantaran memperlekeh usaha gencatan senjata antara kedua-dua negara itu.
Kamil berkata tatkala dunia mengiktiraf peranan Malaysia khususnya Anwar sebagai arkitek keamanan serantau, tindakan Fadhli disifatkan sebagai tidak patriotik dan memalukan negara.
Fadhli menerusi hantaran di laman sosial memuat naik karikatur kambing dan biri-biri yang sedang berebut pisang dengan monyet bertindak sebagai hakim berserta kapsyen: “kambing dan biri-biri seeloknya tidak perlu kepada monyet untuk menjadi orang tengah dalam kes berebut pisang.”
Namun beliau telah memadam hantaran terbabit selepas dikritik ramai.
Satu laporan polis telah dibuat ke atas Fadhli oleh beberapa Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) di IPD Dang Wangi.
Semalam, Anwar selaku pengerusi Asean 2025 bertindak sebagai hos dan saksi kepada perbincangan bersejarah melibatkan Thailand dan Kemboja yang sedang berperang.
Menerusi mesyuarat khas bersama Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai, kedua-dua negara bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta tanpa syarat.