
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Arthur Joseph Kurup berkata RUU Perikanan (Pindaan) 2025 memperkukuh tadbir urus sektor perikanan, menjamin kelestarian sumber, dan melindungi hak nelayan termasuk komuniti kecil di luar bandar dan kepulauan.
Beliau melaporkan kepada wakil rakyat bahawa negara mengalami kerugian dianggarkan sekitar RM823 juta akibat pencerobohan nelayan asing bagi tempoh 2020 hingga 2024, meliputi kehilangan hasil tangkapan komersial, kemusnahan habitat marin dan tekanan terhadap sumber perikanan tempatan.
“RUU ini bukan hanya mengambil kira kehendak domestik tetapi juga menyelaraskan negara kita dengan amalan antarabangsa dan saranan Suruhanjaya Eropah serta meletakkan Malaysia sebagai negara yang tegas dalam menangani perikanan IUU,” katanya lapor Bernama, ketika menggulung perbahasan.
Arthur menerangkan RUU ini turut meminda peruntukan melibatkan kawal selia, pindah kapal, pendaratan dan penyelenggaraan vesel serta peluasan takrif kesalahan melibatkan kaedah penangkapan ikan yang merosakkan habitat.
Sebagai contoh, katanya, pindaan Seksyen 26 iaitu peruntukan bagi kesalahan penangkapan ikan menggunakan bahan letupan, racun atau pencemar, mana-mana perkakas menggunakan arus elektrik dan alat yang dilarang.
RUU turut memasukkan subseksyen baharu 13(3A) yang menetapkan tempoh larangan permohonan semula lesen tidak lebih lima tahun dari tarikh ia dibatalkan.
Arthur berkata, ia sebagai langkah pencegahan bagi melindungi stok sumber perikanan negara dan dianggap sebagai hukuman berat untuk menghalang pesalah daripada mengulangi kesalahan.