BN-PH ‘dikunci’ sebagai rakan kongsi PRN Sabah, kata Zahid

BN-PH ‘dikunci’ sebagai rakan kongsi PRN Sabah, kata Zahid

Zahid Hamidi berkata BN-PH akan terus buka pintu kerjasama dengan parti atau gabungan lain bagi menghadapi PRN.

zahid hamidi
Pengerusi Zahid Hamidi berkata BN-PH memuktamadkan kerjasama PRN Sabah. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Pengerusi Barisan Nasional Zahid Hamidi mengesahkan gabungan itu dan Pakatan Harapan memuktamadkan kerjasama sebagai rakan kongsi bagi menghadapi PRN Sabah.

Zahid berkata, perkara itu selari keputusan peringkat persekutuan susulan kerjasama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan PH bagi PRN.

“Kita telah memuktamadkan perkongsian kolaborasi kita dengan PH, ertinya Barisan Nasional dan PH itu telah dikunci sebagai rakan kongsi di pilihan raya negeri Sabah.

“Manakala, untuk PH dan GRS adalah satu kesepakatan bersama antara mereka yang telah juga dimuktamadkan,” katanya ditemui selepas tinjauan persiapan akhir Karnival Mega 3 Dimensi di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec).

Pada 27 Julai lalu Pengerusi GRS Hajiji Noor berkata pihaknya dan PH bersetuju mewujudkan kerjasama pilihan raya bagi PRN.

Hajiji yang juga ketua menteri Sabah berkata perbincangan mengenai pembahagian kerusi sudah diadakan dan formula asas telah dibentuk.

Sementara itu, Zahid berkata BN-PH akan terus membuka pintu kerjasama dengan parti atau gabungan lain bagi menghadapi PRN.

“Dan kita lakukan kemurnian di dalam pilihan raya negeri Sabah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.