Ahli Parlimen cadang naikkan cukai cecair vape bernikotin

Ahli Parlimen cadang naikkan cukai cecair vape bernikotin

Wan Saiful Wan Jan turut cadang kerajaan tetap harga minimum bagi vape seperti rokok biasa.

Vape
Kerajaan kini mempertimbangkan larangan penuh penjualan dan penggunaan vape serta rokok elektronik namun memerlukan beberapa pertimbangan seperti kesan undang-undang.
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen mencadangkan kerajaan menaikkan cukai bagi cecair vape bernikotin selain menetapkan harga minimum, sama seperti ditetapkan untuk rokok biasa.
Wan Saiful Wan Jan.
Wan Saiful Wan Jan.

Wakil rakyat Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan, berkata beliau memahami penelitian kerajaan terhadap cadangan mengharamkan penggunaan peranti terbabit yang dibuat pelbagai pihak atas faktor kesihatan.

Namun, beliau menggesa kerajaan tidak berdiam diri dan menunggu sehingga proses itu dimuktamadkan.

“Dalam mempertimbang pengharaman vape, kerajaan perlu mengambil kira larangan ‘total’ sering membawa kepada kewujudan pasaran gelap yang sukar dikawal jika tiada penguatkuasaan yang benar-benar berkesan.

“Memandangkan produk vape masih dijual secara meluas, saya menggesa kerajaan segera menaikkan cukai ke atas cecair vape bernikotin supaya selari kadar cukai rokok, langkah ini penting bagi memperkukuh usaha pencegahan dan pengawalan,” katanya dalam kenyataan.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu berkata, ketika ini cecair nikotin hanya dikenakan cukai sebanyak 40 sen bagi setiap mililiter, sedangkan rokok dikenakan RM8 bagi setiap kotak.

Katanya, berdasarkan pengiraan mudah, penggunaan 2 mililiter cecair vape bernikotin mengandungi hampir sama jumlah nikotin dengan sekotak rokok namun cukainya hanya sekitar 10% daripada cukai rokok.

“Perbezaan harga yang begitu besar menyebabkan ramai pengguna memilih vape kerana lebih murah dan lebih mampu milik,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Saiful berkata kerajaan wajar menetapkan sekurang-kurangnya harga minimum pada paras RM12.

“Keseluruhan struktur harga perlu dipautkan kepada kadar kenaikan duti eksais dari semasa ke semasa.

“Ini penting bagi memastikan kesaksamaan cukai (tax parity) dan tahap kemampuan harga (affordability) yang sesuai dengan niat untuk mengurangkan atau mencegah penggunaannya,” katanya.

Semalam, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata pihaknya mempertimbangkan larangan penuh penjualan dan penggunaan vape serta rokok elektronik, namun memerlukan beberapa pertimbangan seperti implikasi undang-undang, penguatkuasaan, dan kesihatan awam.

Beberapa kerajaan negeri mengambil langkah pengharaman penuh penjualan vape antaranya Perlis, Terengganu, Kedah, dan Pahang. Johor dan Kelantan pula menguatkuasakan larangan penjualan produk tersebut masing-masing sejak 2016 dan 2015.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.