Maxim, InDrive diberi amaran tegas patuh syarat, kata Loke

Maxim, InDrive diberi amaran tegas patuh syarat, kata Loke

Menteri pengangkutan berkata aspek keperluan permit kenderaan e-hailing perlu diikuti atau lesen mereka boleh digantung atau dibatal.

anthony loke siew fook
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook, berkata Maxim dan InDrive kini berada di bawah tempoh pemantauan selama tiga bulan bermula 24 Julai. (Gambar Bernama)
ALOR SETAR:
Dua syarikat pengendali e-hailing, Aist Malaysia Sdn Bhd (Maxim) dan ID Applications Sdn Bhd (InDrive) diberikan amaran tegas mematuhi syarat perkhidmatan termasuk aspek keperluan permit kenderaan e-hailing (EVP) untuk beroperasi di negara ini.

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook, berkata kedua-dua syarikat itu kini berada di bawah tempoh pemantauan selama tiga bulan dan sekiranya keperluan berkenaan gagal dipatuhi, lesen mereka boleh digantung atau dibatalkan.

“Namun, kita lihat mereka telah mengambil langkah-langkah penambahbaikan. Jadi, biasanya kesalahan pertama kita bagi peluang untuk menambah baik dan memperbetulkan.

“Jadi, kalau mereka masih langgar syarat-syarat itu, baru kita gantung lesen ataupun kita batalkan lesen mereka,” katanya selepas melancarkan Bas.My Kota Setar.

Loke berkata, pihaknya memandang serius kesalahan beroperasi tanpa pematuhan terhadap keperluan EVP sebelum ini, namun kementerian pada masa sama memahami dan mengambil kira kesan kepada pemandu serta pengguna dua syarikat e-hailing terbabit.

“Kalau kita tutup terus tanpa memberikan peluang kepada mereka menambah baik, maka akan ada pula penumpang yang membuat aduan,” katanya.

Terdahulu, Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) mengeluarkan notis pembatalan lesen perniagaan pengantaraan (LPP) kepada Maxim dan InDrive berkuat kuasa 24 Julai 2025 susulan audit mendapati ketidakpatuhan terutama dalam aspek keperluan EVP.

Berikutan itu, kedua-dua syarikat berkenaan membuat rayuan kepada kementerian dan rayuan mereka diterima dengan perlu menjalani tempoh pemantauan selama tiga bulan bermula 24 Julai bagi memastikan syarat perkhidmatan dipatuhi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.