Lelaki rugi lebih RM200,000 ditipu beli Toyota Hilux

Lelaki rugi lebih RM200,000 ditipu beli Toyota Hilux

Mangsa sebelum itu melihat iklan jualan kenderaan terbabit yang dipasarkan di Facebook.

scammers
Mangsa menggunakan wang simpanan dan caruman KWSP miliknya bagi tujuan pembelian kenderaan berkenaan, kata Ketua Polis Kuala Terengganu Azli Mohd Noor.
PETALING JAYA:
Seorang lelaki kerugian RM241,700 selepas menjadi mangsa penipuan pembelian sebuah kenderaan pacuan empat roda secara dalam talian.

Ketua Polis Kuala Terengganu, Azli Mohd Noor, berkata pegawai bank berusia 52 tahun itu pada mulanya tertarik dengan iklan jualan kenderaan jenis Toyota Hilux 2.4 Auto terpakai tahun 2017 yang dipasarkan di Facebook pada pada 4 Julai lalu.

Katanya, mangsa menghubungi individu terbabit di WhatsApp bagi urusan pembeliannya dengan sebuah syarikat yang didakwa beroperasi di Pelabuhan Klang, Selangor.

“Mangsa kemudiannya membuat 40 kali transaksi pembayaran ke dalam 18 akaun bank berbeza berjumlah keseluruhan RM241,700 bermula 9 hingga 21 Julai lalu.

“Mangsa menggunakan wang simpanan dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) miliknya bagi tujuan pembelian itu,” katanya dalam kenyataan hari ini, menurut Sinar Harian.

Katanya, mangsa mula curiga selepas suspek meminta bayaran tambahan RM31,000 untuk urusan ‘cap jari kastam’ sebelum menyedari dia ditipu kerana tidak menerima sebarang kenderaan seperti dijanjikan.

“Mangsa kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu pada 9.37 pagi semalam.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai untuk lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran kenderaan atau barangan di media sosial yang tidak masuk akal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.