Kilang sarung tangan lepas air berbuih ke longkang diarah henti operasi

Kilang sarung tangan lepas air berbuih ke longkang diarah henti operasi

Pengarah JAS Kedah berkata pelepasan air sisa berbuih ke longkang awam mencemarkan alam sekitar, berpotensi mengancam ekosistem air dan kesihatan awam.

JAS Kedah melaksanakan penahanan operasi kelengkapan di sebuah kilang sarung tangan getah di Kulim yang melepaskan air berbuih ke longkang awam. (Gambar JAS)
PETALING JAYA:
Sebuah kilang sarung tangan getah di Kulim, Kedah diarah berhenti operasi selepas didapati melepaskan air sisa berbuih.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab, berkata susulan aduan orang awam pada 27 Julai lalu, pasukan penyiasat ke kawasan itu pada hari sama yang mendapati kilang sarung tangan getah terbabit melepaskan air berbuih ke longkang awam.

“Keadaan ini bukan saja mencemarkan alam sekitar, tetapi juga berpotensi mengancam ekosistem air dan kesihatan awam.

“Sebagai tindakan segera, JAS Kedah melaksanakan penahanan operasi kelengkapan bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya menurut Berita Harian.

Beliau berkata, tindakan itu bagi menghentikan segera pencemaran dilakukan kilang terbabit dan satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 25 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Pindaan 2024).

Orang ramai mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi 1-800-88-2727 atau eaduan.doe.gov.my.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.