Himpunan ‘Turun Anwar’ tersasar, kata bekas wakil Muda

Himpunan ‘Turun Anwar’ tersasar, kata bekas wakil Muda

Bekas setiausaha agung Amir Hadi berkata pembangkang sepatutnya menumpukan alternatif dan cadangan dasar berbanding menuntut Anwar Ibrahim berundur.

Turun Anwar protest
Kira-kira 18,000 menyertai himpunan ‘Turun Anwar’ Sabtu lalu di Kuala Lumpur, menurut polis walaupun penganjur mendakwa jumlah keseluruhan lebih 200,000 peserta.
PETALING JAYA:
Pembangkang sepatutnya menumpukan alternatif dan cadangan dasar dalam himpunan Sabtu lalu, bukannya memfokuskan kegagalan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim serta menuntut peletakan jawatannya, kata bekas setiausaha agung Muda.
Amir Hadi
Amir Hadi.

Amir Hadi, kini pengarah eksekutif kumpulan masyarakat sivil Mandiri, berkata beliau pernah menyuarakan penggunaan tema ‘Turun Anwar’ kepada penganjur.

“#TurunAnwar ini bersifat politik. Ia mesej merebut kekuasaan. Apatah lagi Perikatan Nasional (PN) memang popular dengan pelbagai langkah untuk kembali menjadi kerajaan, selain tertubuh juga dengan langkah menjatuhkan kerajaan bukan melalui pilihan raya.

“Langkah begini, rakyat tidak suka. Sekurang-kurangnya rakyat di atas pagar. Kalau ahli atau simpatisan parti, memanglah nak kerajaan tumbang. Tapi bagi yang di atas pagar, ia dilihat tindakan gopoh mahu kembali pada kekuasaan,” katanya dalam catatan Facebook malam tadi.

Beliau berkata, rakyat mungkin kecewa dengan kerajaan sekarang, tetapi juga bosan dengan ketidakstabilan politik yang boleh mendatangkan lebih banyak mudarat.

“Faktanya, rakyat jelek dengan orang politik. Orang mungkin marah dengan Anwar atas beberapa isu; tapi ia tidak bermaksud orang ramai juga mahu Anwar dijatuhkan separuh jalan sebelum tamat penggal, dan kita kembali dalam situasi yang tidak stabil.”

Amir, yang tidak menyertai perhimpunan itu atas alasan diberikan, berkata mengemukakan alternatif dasar konkrit seperti memansuhkan tol dan undang-undang zalim adalah kekuatan pembangkang terdahulu.

“Kalau pun mungkin kini mereka gagal laksanakan banyak perkara, tetapi ketika mereka pembangkang, mereka bentangkan solusi,” katanya dalam kemungkinan merujuk Pakatan Harapan (PH), yang kini menjadi sebahagian kerajaan perpaduan.

Beliau berkata, persoalan mengenai siapa yang akan dicadangkan PN sebagai calon pengganti Anwar adalah sah: “Malah siapa akan ganti Anwar, sekurang-kurangnya dari kalangan pembangkang sendiri juga masih gagal dijawab. Bagaimana kepercayaan nak diberi?”

‘PN tiada arah tuju’

Liew Chin Tong dari DAP turut membidas pembangkang, berkata PN mempunyai kehadiran signifikan di Parlimen, tetapi tiada visi kepimpinan jelas untuk dianggap sebagai alternatif serius.

Liew Chin Tong
Liew Chin Tong.

Beliau berkata, himpunan ‘Turun Anwar’ mungkin menarik orang ramai, tetapi tidak menarik minat pengundi pertengahan atau bukan partisan.

“Hampir kesemuanya merupakan penyokong PAS,” kata timbalan menteri pelaburan, perdagangan dan industri itu dalam catatan Facebook.

Beliau berkata, PN boleh menjadi pembangkang konstruktif, contohnya bekerjasama dalam isu utama seperti keyakinan dan bekalan, seperti dilakukan DAP selepas Langkah Sheraton.

“Kepimpinan PN perlu sedar bahawa menjadi pembangkang yang hanya mampu menimbulkan kemarahan untuk memanipulasi emosi rakyat, terutamanya orang Melayu, tidak akan membawa perubahan kepada negara.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.