Bayi antara 20 budak diselamat dari gudang

Bayi antara 20 budak diselamat dari gudang

Mereka dipercayai terdiri pelbagai warganegara.

baby
Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam Pulau Pinang, Lim Siew Khim berkata, kanak-kanak itu dipercayai tidak menerima keperluan asas mencukupi seperti makanan, pakaian, dan tempat tinggal selamat.
PETALING JAYA:
Bayi berusia 15 hari antara 20 kanak-kanak pelbagai warganegara diselamatkan dalam operasi khas di sebuah gudang kotor di Bukit Mertajam.

Operasi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan polis pada 21 Julai itu dilakukan susulan aduan orang awam dan pemantauan pihak terhadap kegiatan mencurigakan melibatkan sekumpulan kanak-kanak yang dilihat kerap keluar masuk di premis itu.

Turut diselamatkan dalam operasi itu ialah seorang wanita berusia 20 tahun dipercayai ibu kandung kepada bayi perempuan tersebut.

Menurut Kosmo, mereka dipercayai terdiri pelbagai warga negara serta bertutur bahasa Mandarin dan kurang fasih berbahasa Melayu.

Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Lim Siew Khim berkata, kanak-kanak terbabit dipercayai tidak menerima keperluan asas mencukupi seperti makanan, pakaian, dan tempat tinggal selamat.

“Semua mereka yang diselamatkan berumur antara 15 hari hingga 16 tahun, terdiri daripada 10 lelaki dan 10 perempuan.

“Berdasarkan siasatan awal, 12 kanak-kanak termasuk bayi tiada sijil kelahiran, enam mempunyai dokumen sah namun tiada ibu bapa atau penjaga dan dua telah diserahkan kepada penjaga keluarga terdekat,” katanya menurut laporan itu pada sidang media di George Town.

Katanya, siasatan awal mendapati sebahagian kanak-kanak itu tidak mempunyai penjaga sah.

“Keadaan di gudang ini sangat tidak bersih dan langsung tidak sesuai untuk didiami apatah lagi oleh kanak-kanak. Tempat itu bukan rumah jagaan dan bukan pusat pendidikan. Kanak-kanak tidak patut berada di situ.”

Beliau berkata, lima individu dewasa disyaki bertindak sebagai penjaga kini disiasat lanjut polis.

Beliau berkata, sebelum ini pihaknya menerima beberapa aduan awam sejak hujung tahun lalu, namun ketika lawatan dan pemeriksaan awal dilakukan, tiada kanak-kanak ditemui di alamat yang diberikan namun aduan itu akhirnya dapat disahkan menerusi pemantauan berterusan.

“Semua kanak-kanak kini ditempatkan di institusi yang diwartakan sebagai ‘Tempat Selamat’ serta menerima Perintah Jagaan Sementara daripada Mahkamah Bukit Mertajam. Pemeriksaan kesihatan turut dijalankan di Hospital Seberang Jaya dengan penglibatan pegawai psikologi JKM,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.