2 beradik mengaku tak salah culik, cederakan lelaki di Puchong

2 beradik mengaku tak salah culik, cederakan lelaki di Puchong

V Kirtik Ram serta V Theshvinram didakwa secara bersama melarikan seorang lelaki 21 tahun dengan niat hendak mengurung secara sulit dan salah.

Mahkamah Majistret Shah Alam membenarkan jaminan masing-masing RM5,000 dan RM2,000 bagi pertuduhan pertama serta kedua terhadap V Kirtik Ram serta V Theshvinram. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Dua beradik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menculik dan mencederakan seorang lelaki minggu lalu.

V Kirtik Ram, 19, serta V Theshvinram, 18, didakwa secara bersama melarikan seorang lelaki 21 tahun dengan niat hendak mengurung secara sulit dan salah.

Bagi pertuduhan kedua, mereka dituduh secara bersama sengaja mendatangkan kecederaan terhadap individu sama dengan cara memukul.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Persiaran Permai, Bukit Puchong, Puchong pada 6.38 petang 22 Julai lalu.

Pertuduhan dikemukakan bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga tujuh tahun dan boleh didenda serta Seksyen 323 kanun sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Akhilah Rosmi menawarkan jaminan RM8,000 bagi setiap pertuduhan, manakala peguam Noor Farazidah memohon jaminan rendah bagi dua anak guamnya yang masing-masing bekerja sebagai kelindan lori serta penghantar barangan.

“Mereka menanggung seorang nenek dan adik masih bersekolah. Mereka menyerah diri kepada polis dan memberi kerjasama baik kepada pihak berkuasa.”

Mahkamah membenarkan jaminan masing-masing RM5,000 dan RM2,000 bagi pertuduhan pertama serta kedua terhadap Kirtik Ram dan Theshvinram, manakala sebutan semula kes ditetapkan 8 Sept ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.