Zahid kata MIC tak patut keluar BN, kerajaan perpaduan

Zahid kata MIC tak patut keluar BN, kerajaan perpaduan

Timbalan Presiden MIC M Saravanan MIC berkata parti itu akan menentukan hala tuju selepas AGM dijadual Oktober depan.

Pengerusi BN Zahid Hamidi, berkata MIC mempunyai struktur baik dan menjaga keperluan masyarakat India. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Zahid Hamidi yakin masa depan MIC lebih terjamin bersama komponen itu, di sebalik kenyataan seorang pemimpinnya yang tidak puas hati kerana parti tidak diberi peranan dalam kerajaan perpaduan.

Zahid yang juga presiden Umno, berkata MIC yang merupakan parti memperjuangkan kepentingan komuniti India tidak sepatutnya keluar gabungan tersebut dan kerajaan perpaduan.

“MIC ialah sebuah parti yang mempunyai struktur baik dan menjaga keperluan masyarakat India. Ia sangat berpengaruh. Saya percaya jika pengundi India kembali menyokong MIC, parti itu akan memperoleh lebih banyak wakil di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

“MIC perlu meneruskan kerjasama (dengan BN)…gabungan ini sudah kekal utuh sejak zaman Perikatan. Kita ibarat ‘tiga serangkai’ (Umno, MCA, dan MIC), dan ikatan ini perlu dikekalkan,” katanya menurut Berita Harian di Raub.

Hari ini, Timbalan Presiden MIC M Saravanan dilaporkan berkata parti itu tidak diberikan sebarang jawatan dalam kerajaan, termasuk dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), walaupun mempunyai pemimpin politik kanan berpengalaman sepertinya dalam barisan kepimpinan.

Dalam wawancara bersama Utusan Malaysia, beliau tidak memberikan kata putus sama MIC akan menyertai Perikatan Nasional. Beliau berkata: “Buat masa ini, saya tidak berani cakap ya atau tidak.”

Ahli Parlimen Tapah itu berkata, MIC akan menentukan hala tuju selepas mesyuarat agung tahunan dijadual pada Oktober depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.