
Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata pendirian Umno untuk tidak bertanding solo dalam PRU16 adalah wajar dalam jangka masa pendek demi kelangsungan parti itu.

“Umno mungkin meletakkan garis masa strategik, mungkin antara lima hingga 10 tahun, untuk melakukan transformasi menyeluruh dan kembali sebagai parti yang mampu berdiri sendiri.
“Umno tidak mahu hilang identiti dan hanya menjadi pelengkap dalam pakatan (kerajaan perpaduan) serta bukan pemain utama dalam jangka masa panjang,” katanya kepada FMT.
Katanya, untuk kembali mencapai kekuatan untuk bergerak solo Umno perlu mengukuhkan akar umbi, memperkasakan sayap parti, meningkatkan integriti dalam pentadbiran serta naratif baharu yang lebih segar dan inklusif.
Awang juga berpendapat, pendirian Umno untuk terus bekerjasama dengan parti dalam kerajaan perpaduan seperti PKR dan DAP bagi menghadapi PRU16 sebagai langkah pragmatik demi menjamin kestabilan politik.
“Pendekatan kolaboratif itu mampu membina semula keyakinan rakyat terhadap kemampuan Umno untuk menjadi sebahagian daripada penyelesaian nasional, bukannya sumber konflik dalam kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Rabi’ah Aminudin dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, untuk kembali bangkit, Umno perlu melakukan reformasi dalaman agar parti tersebut dilihat lebih segar, terutamanya dalam kalangan pengundi muda dan luar bandar.
“Imej Umno yang dilihat sinonim dengan rasuah dan politik wang perlu diperbaiki. Jika perkara itu dapat diatasi, Umno mungkin memerlukan tempoh satu lagi pusingan PRU untuk benar-benar bangkit,” katanya.
Rabi’ah berkata, walaupun Umno menyatakan keselesaan bekerjasama dengan parti dalam kerajaan perpaduan, namun tidak mustahil untuk mereka kembali bersama Perikatan Nasional (PN), memandangkan pengundi terasnya sebelum ini lebih selesa bersama gabungan itu berbanding Pakatan Harapan (PH).
“Cuma, kalau Umno bersama PN, mereka akan berkongsi ‘voter base’ yang lebih kurang sama. Ini mungkin akan menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan akar umbi, terutama dari segi pembahagian kerusi,” katanya.
Sebelum ini, Presiden Umno Zahid Hamidi menegaskan pendirian untuk tidak bergerak secara solo dalam menghadapi PRU16 akan datang dan kekal menjalin kerjasama dengan kerajaan perpaduan demi kestabilan politik negara.