
Di Pulau Bum Bum dan Pulau Mabul, penyerahan STR secara terus itu demi mengelak penduduk menanggung kos dan masa perjalanan yang panjang ke pekan Semporna berada di tanah besar Borneo.
Penduduk Kampung Pulau Mabul, Arlinda Rudi, 33, berkata lazimnya perjalanan ke pekan mengambil kira-kira 40 minit sehala dengan menaiki bot.

“Ia cukup memudahkan apabila mereka datang ke pulau kami demi inisiatif ini. Kami benar-benar berharap perkara ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” kata pramusaji itu kepada FMT.
Seorang lagi penduduk, jurulatih selaman berusia 27 tahun, Abdurrahman Abdullah, berkata bantuan tersebut membantu meringankan beban keluarganya yang terdiri 14 orang termasuk ibu bapa dan adik-beradiknya.
“Ini kali pertama saya dan keluarga menerima bantuan ini. Ia akan membantu kami membeli makanan untuk barang dapur,” katanya.
Semalam, pengagihan STR di Pulau Mabul menyaksikan bantuan diserahkan kepada 11 penerima di rumah ketua kampung, Yusof Jalal.
Pembayaran STR di Semporna merupakan sebahagian usaha capaian menyeluruh di seluruh negara yang diselaraskan Kementerian Kewangan, dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri, Bank Simpanan Nasional, Yayasan MyKasih, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) serta agensi daerah setempat.
Setakat 25 Julai, Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar), Zamzuri Abdul Aziz, berkata lebih RM52.7 juta bantuan STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) telah disalurkan kepada 46,568 penerima di 60 lokasi pedalaman di seluruh negara.
Ini termasuk RM26.7 juta kepada 23,105 penerima di Sabah, RM23.2 juta kepada 20,775 penerima di Sarawak, dan RM2.8 juta kepada 2,688 penerima Orang Asli di Semenanjung.
Sementara itu, di Pulau Bum Bum, pihak berkuasa membuka kaunter sementara di Sekolah Kebangsaan Balimbang bagi memudahkan pengagihan bantuan. Gerai Jualan Rahmah turut didirikan, menawarkan barangan keperluan seperti beras dan telur pada harga subsidi.
Di sini, penduduk menggunakan MyKad yang sumbangan dikreditkan di bawah program SARA untuk membuat pembelian tanpa tunai bagi barangan keperluan harian.
Nelayan, Abdul Kasie Abd Hamid, 51, dari Kampung Balimbang menyambut baik kemudahan pusat agihan bantuan yang dekat dengan kediaman mereka.
“Dulu, ambil masa sehingga 20 minit untuk ke pekan dengan menaiki bot. Apabila sampai, kami biasanya terpaksa beratur berjam-jam di bawah terik matahari sebelum terima bantuan,” katanya.

Kamis Bata, 59, dari Kampung Look Butun, berkata dia sebelum ini membelanjakan sekitar RM10 bagi perjalanan pergi balik mengambil bantuan STR, dan kini lega dapat berjimat daripada kos perjalanan.
“Saya berterima kasih kerana kerajaan ambil berat mengenai kami yang tinggal di pulau-pulau ini. Ini beri kelegaan kepada kami yang tidak ada akaun bank,” katanya.
Program SARA, sebagai pelengkap STR, telah diperluas pada April 2025 daripada 700,000 kepada 5.4 juta penerima, dengan bilangan premis runcit mengambil bahagian meningkat daripada 700 kepada 4,100 di seluruh negara.
Di Sabah, 95% penerima telah menggunakan MyKad mereka untuk membuat pembelian di bawah program berkenaan, menjadikannya kadar tertinggi di seluruh negara.
Bayaran kredit sekali beri berjumlah RM100 di bawah program SARA juga akan disalurkan kepada semua rakyat dewasa bermula 31 Ogos sebagai sebahagian inisiatif khas sambutan Hari Kebangsaan.