Lelaki didakwa cedera suami bekas isteri guna parang

Lelaki didakwa cedera suami bekas isteri guna parang

Pembantu perawatan di sebuah hospital itu dituduh menyebabkan mangsa cedera parah dalam kejadian pada 3 pagi, 16 Julai lepas.

gavel
Hakim Mahkamah Sesyen Kota Bharu Zulkilfi Abllah benar tertuduh dijamin dengan RM10,000 dengan syarat tertuduh tidak ganggu mangsa serta saksi. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas tuduhan mencederakan suami kepada bekas isterinya menggunakan parang pada 16 Julai lepas.

Nik Mohd Helmy Raja Sulong, 38, dituduh sengaja menyebabkan mangsa cedera parah dengan menggunakan sebilah parang di tepi jalan di Kampung Pulau Raja Kubang Kerian dalam kejadian pada 3 pagi itu.

Pembantu perawatan di sebuah hospital itu didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan, lapor Bernama.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Mazlan tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan kes itu melibatkan kecederaan menggunakan parang dan mangsa ialah suami kepada bekas isteri tertuduh.

Bagaimanapun, peguam Muhammad Fariduddin Mat Noor yang mewakili tertuduh memohon mahkamah membenarkan jaminan memandangkan anak guamnya perlu menanggung lima anak termasuk anak tiri.

Beliau berkata, anak guamnya itu juga menghidap penyakit jantung dan pernah dua kali terkena serangan penyakit itu semasa dalam tahanan.

Siti Hajar membantah memandangkan mangsa dan tertuduh tinggal berdekatan, iaitu Kubang Kerian dan Kota Bharu.

Hakim Zulkilfi Abllah membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan syarat tertuduh tidak mengganggu mangsa serta saksi.

Jika gagal mematuhi syarat, mahkamah boleh menarik jaminan selain tertuduh boleh dikenakan tahanan reman semula.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali serta menyerahkan pasport.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 26 Ogos.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.