
Menurut sumber, keempat-empat suspek lelaki berusia dalam lingkungan 20 hingga 40an itu ditahan di pejabat SPRM Johor hari ini.
“Dua suspek utama ditahan Unit Pematuhan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) semasa pemeriksaan dilakukan di kaunter semalam dan kemudiannya diserahkan kepada SPRM.
“Susulan penahanan tersebut, dua lagi pegawai penguat kuasa ditahan kerana disyaki bersubahat dalam kegiatan pasport terbang ini,” katanya.
Menurut sumber, ketika penahanan semalam, 14 pasport warga asing, empat telefon bimbit milik kedua-dua suspek utama serta wang rasuah bernilai kira-kira RM3,000 telah ditemukan.
“Siasatan awal mendapati wang tunai dan telefon bimbit itu mempunyai kaitan dengan transaksi rasuah melibatkan kegiatan pasport terbang.
“Bagi setiap satu pasport yang dicop tanpa kehadiran pemilik pasport, kesemua suspek akan menerima wang rasuah bernilai kira-kira RM200,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Operasi SPRM Johor Hairul Ilham Hamzah yang mengesahkan penahanan tersebut berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Beliau berkata, kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Johor Bahru esok untuk permohonan reman.