Jalur Gemilang terbalik, FAM hantar bantahan rasmi

Jalur Gemilang terbalik, FAM hantar bantahan rasmi

Badan induk bola sepak negara sedang tunggu bentuk tindakan terhadap individu atau penganjur kejohanan dalam aksi Piala Asean B-23.

bendera terbalik
Penyokong bola sepak Indonesia memegang Jalur Gemilang terbalik dengan dipangkah ketika aksi Piala Asean Bawah 23 Tahun di Stadium Gelora Bung Karno. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menghantar bantahan rasmi susulan tindakan penyokong Indonesia mengibarkan Jalur Gemilang terbalik pada aksi Piala Asean Bawah 23 Tahun (B-23) di Jakarta, baru-baru ini.

Setiausaha Agung Noor Azman Rahman, berkata bantahan itu dihantar dua hari lalu kepada Setiausaha Agung AFF Winston Lee Boon Aun, serta pihak Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

“Kita sudah hantar bantahan kepada AFF dan salinan kepada kepada AFC. Perkara ini menimbulkan rasa kurang senang buat penyokong dan rakyat Malaysia,” katanya menurut Bernama, di Shah Alam.

Terdahulu, beberapa gambar tular memaparkan bendera kebangsaan dipegang terbalik dan diconteng segelintir penyokong tuan rumah, di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta.

Beliau berkata, FAM masih menunggu maklum balas rasmi daripada AFF dan AFC mengenai bentuk tindakan akan diambil terhadap individu terbabit atau penganjur kejohanan.

Sementara itu, beliau mengesahkan Stadium Nasional Bukit Jalil akan menjadi gelanggang bagi perlawanan persahabatan antarabangsa Harimau Malaya menentang Singapura dan Palestin pada September depan.

“Setakat ini memang dua perlawanan ini sahaja yang kita sahkan. Lokasi pun sudah diputuskan di Bukit Jalil, dan skuad akan berlatih di Stadium Kuala Lumpur,” katanya.

Dua aksi ini dijangka menjadi medan penting buat pasukan kebangsaan menguji kombinasi pasukan sebelum saingan kelayakan Piala Asia 2027 bersambung pada Oktober.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.