
PETALING JAYA: Bermula dengan rancangan bantahan Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA), pembangkang mengalihkan objektif perhimpunan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur hari ini kepada desakan Anwar Ibrahim turun dari kedudukan perdana menteri.
Mengikut jadual dikongsi penganjur, perhimpunan aman itu akan bermula sekitar 3 petang dengan 18 pemimpin politik dan NGO akan berucap antaranya bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS Hadi Awang.
Penganjur menyasarkan kehadiran 300,000 orang, lebih daripada 50,000 orang yang disasarkan sebelum ini.
Terus layari FMT yang membawakan laporan terkini oleh wartawan Nora Mahpar, Anne Muhammad, Natalie Chan dan Yee Suet Mun.
Jurugambar terdiri daripada Moganraj Villavan, Afizi Ismail, Hizami Safri dan Andrea Edmonds.
- Himpunan Turun Anwar berakhir upacara bacaan doa dengan kurang 20,000 hadir turut menyanyikan lagu Negaraku.
- Dr Mahathir Mohamad berkata Anwar Ibrahim sepatutnya mengikuti jejak langkahnya turun daripada jawatan perdana menteri yang dilakukannya selepas ditolak oleh Bersatu pada 2020.

- Dr Mahathir Mohamad berkata Anwar Ibrahim bukan hakim yang menentukan kesalahan seseorang, merujuk kenyataan perdana menteri yang beliau ‘bersalah’ dalam isu Batu Puteh.

- Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin berkata di sebalik kenaikan harga barang, rakyat mahu ada perkara dapat diturunkan iaitu Anwar Ibrahim turun sebagai perdana menteri.

- Tuan Ibrahim Tuan Man mewakili PAS pada perhimpunan pembangkang, difahamkan susulan ketidakhadiran Presiden Hadi Awang yang mengikut jadual awal dikongsi penganjur akan berucap di Dataran Merdeka.

- Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin berkata pengumuman RM100 dibuat Anwar Ibrahim tidak cukup kerana rakyat tetap mahukannya meletak jawatan sebagai perdana menteri.

- Dr Mahathir Mohamad tiba di perhimpunan pembangkang kira-kira 4.15 petang dengan pengawal peribadinya terpaksa meredah orang ramai untuk memberi laluan kepada bekas perdana menteri itu.

- Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Azmin Ali mendakwa perhimpunan pembangkang hari ini bukan kerana dendam kesumat dan dengki terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim tetapi mahu menyelamatkan negara.
- Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir mengingatkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa beliau yang bertanggungjawab mengajar anak-anak muda berdemonstrasi.

- Menteri Besar Kedah Sanusi Nor yang tidak dijadual berucap mengakhiri ucapannya dengan kata-kata ‘saya ulang’ pada perhimpunan pembangkang di Dataran Merdeka.

- Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari mendakwa 500,000 hadir pada himpunan pembangkang yang berlangsung di Dataran Merdeka, lebih daripada 300,000 disasarkan penganjur.

- Hujan tidak akan melemahkan peserta pada perhimpunan pembangkang di Dataran Merdeka, kata bekas pemimpin Umno Isham Jalil yang menjadi penceramah terawal.

- Ada peserta himpunan pembangkang mengangkat gambar bekas perdana menteri Najib Razak ketika berarak dari Masjid Negara ke Dataran Merdeka.

- Bekas naib presiden PKR Tian Chua berkata beliau tidak berucap pada perhimpunan pembangkang di Dataran Merdeka pada jam 3.15 petang ini walaupun dijemput oleh penganjur.

- Perikatan Nasional (PN) mempunyai pemimpin berkaliber, kata Setiausaha Gerakan Wong Chia Zhen ketika ditemui pada perhimpunan pembangkang mendesak Anwar Ibrahim turun, namun beliau tidak menamakan nama-nama pimpinan terbabit.

- Seorang ibu dikenali Zulaikha Zaidi dari Muar berkata dia membawa anak kecilnya berusia 4 hingga 11 tahun ke perhimpunan pembangkang di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur kerana ingin memberikan mereka pengalaman.

- Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur Mohamed Usuf Jan mengesahkan pentas perhimpunan pembangkang di Dataran Merdeka disita dan dibuka Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana dibuat tanpa kebenaran.
- Mohamed Usuf Jan berkata mengikut perjanjian polis dengan penganjur, pentas ucapan hanya dibenarkan menggunakan dua kenderaan pacuan empat roda bukan struktur.
- Ketika ditemui di sebuah acara di Putrajaya, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berseloroh bahawa beliau tidak akan menghadiri perhimpunan hari ini kerana tidak dijemput oleh penganjur.

- Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan mengingatkan peserta himpunan pembangkang mematuhi garis panduan ditetapkan dan memastikannya berlangsung aman.

- Polis memantau keadaan bagi memastikan perhimpunan pembangkang di Kuala Lumpur hari ini berjalan lancar tanpa sebarang insiden buruk.

- Pemuda PAS menerusi Facebooknya mendakwa ada arahan daripada pihak berkuasa supaya penganjur membuka pentas utama di Dataran Merdeka dan menyita barangan seperti kerusi yang telah diletakkan. Pentas itu sepatutnya digunakan pada perhimpunan 3 petang ini untuk menempatkan pemimpin seperti Dr Mahathir Mohamad, Hadi Awang dan Muhyiddin Yassin.

- Setakat ini dianggarkan sekitar 1,000 orang berkumpul di Dataran Sogo sebelum mula berarak ke Dataran Merdeka untuk menyertai perhimpunan yang dijadualkan bermula 3 petang.

- Tinjauan mendapati kehadiran orang semakin ramai di Dataran Sogo. Lokasi itu ditetapkan penganjur untuk peserta Kelantan, Terengganu, Pahang, Kedah dan Perlis.

- Pasukan Jabatan Amal Malaysia dan Brigade Muslimat dari PAS ditempatkan bagi memastikan perjalanan perhimpunan pembangkang.