
Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, ini kerana menteri besar Kedah itu tokoh menonjol di peringkat nasional dengan populariti tinggi dalam kalangan penyokong akar umbi dan pengundi muda.

Katanya, ‘penolakan terbuka’ Sanusi boleh mewujudkan persepsi PAS mengamalkan kepimpinan tertutup dan tidak mesra inovasi.
“Jika tiada elemen pembaharuan dalam barisan kepimpinan dalam jangka panjang, boleh menyebabkan ketirisan bakat dan kehilangan daya tarikan kepada golongan profesional serta pengundi muda,” katanya kepada FMT.
Kelmarin, Sanusi memaklumkan belum bersedia menyandang jawatan naib presiden PAS selepas mendapat sokongan terbuka pimpinan tertinggi, menyatakan tiga penyandang iaitu Idris Ahmad, Mohd Amar Abdullah dan Ahmad Samsuri Mokhtar memiliki kekuatan tersendiri yang wajar dipertimbangkan ahli pada pemilihan.
Sanusi pernah menolak pencalonan jawatan sama pada pemilihan terdahulu.
Baru-baru ini, Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin secara terbuka menyuarakan sokongan terhadap pencalonan Sanusi sebagai naib presiden berdasarkan rekod cemerlangnya selaku menteri besar dan pengaruh dalam parti.
Mengulas lanjut, Awang Azman berkata tindakan Sanusi yang juga ketua pengarah pilihan raya PAS mungkin strategi politik untuk mengelak konflik dalaman dan menunjukkan sikap rendah diri serta setia kepada keputusan kolektif.
Namun, katanya ketiadaan pertandingan jawatan ‘top 5’ menghantar mesej bakat baharu hanya boleh ‘naik’ selepas pemimpin sedia ada berundur secara sukarela, sekali gus menyekat pembaharuan pemikiran politik Islam kontemporari terutama dalam kalangan profesional dan teknokrat.
Menurutnya, PAS perlu berhati-hati supaya tidak terperangkap dalam zon selesa yang boleh membawa kepada kelesuan idea dan ketandusan pemimpin pelapis dalam jangka panjang.
“Langkah terbaik adalah memastikan saluran pembangunan bakat dalam parti sentiasa terbuka. Jika tidak, PAS mungkin berjaya dalam jangka pendek tetapi menghadapi risiko kemandulan politik dalam era pasca Hadi (Awang) kelak,” katanya.
Beliau memberi amaran walaupun ketiadaan pertandingan boleh mengelakkan perpecahan, ia berisiko membuka ruang kepada ‘politik bisik-bisik’ dan pembentukan puak secara senyap yang boleh menjejaskan organisasi.

Sementara itu, Kartini Aboo Talib@Khalid dari Universiti Kebangsaan Malaysia berpandangan penolakan Sanusi tidak memberi kesan besar kepada PAS dan ruang pertandingan jawatan utama masih terbuka selagi pencalonan belum ditutup.
“Tetapi, jika ramai menolak (pencalonan) itu tanda majoriti ahli mahu kekalkan status quo kerana pasukan sedia ada berjaya membawa kejayaan besar dalam pilihan raya lalu sehingga meletakkan PAS mempunyai kerusi Parlimen terbesar,” katanya.
Beliau berkata, ketiadaan pertandingan tidak semestinya membawa risiko penolakan rakyat kerana PAS sentiasa melatih pemimpin pelapis dengan idea segar yang akan diketengahkan apabila tiba masa.
“Jika tiada pertandingan tetapi ada musyawarah, itu tetap baik untuk parti. PAS mempunyai hierarki sosial berlapis, setiap lapisan akan dilatih dan dinaikkan secara berperingkat,” katanya.