Terbuka China 2025: Aaron-Wooi Yik, Pearly-Thinaah mara separuh akhir

Terbuka China 2025: Aaron-Wooi Yik, Pearly-Thinaah mara separuh akhir

Aaron-Wooi Yik dijadual berdepan gandingan dari India, manakala Pearly-Thinaah akan berdepan beregu tuan rumah pada separuh akhir.

Aaron Chia-Soh Wooi Yik
Aaron Chia-Soh Wooi Yik singkir pasukan senegara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, 21-18, 21-14, pada peringkat suku akhir Terbuka China 2025 di Changzhou. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik melangkah ke separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka China 2025 di Changzhou selepas menewaskan pasangan senegara pada aksi suku akhir hari ini.

Pilihan kedua kejohanan itu menampilkan aksi bertenaga untuk menundukkan Man Wei Chong-Tee Kai Wun 21-16, 21-16 di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik, sekali gus menjadikan rekod pertemuan mereka 4-3.

Aaron-Wooi Yik dijadualkan berdepan gandingan dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty, yang sebelum itu menyingkirkan satu lagi wakil Malaysia, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, 21-18, 21-14.

Turut mengiringi mereka ke kelompok empat terbaik ialah beregu wanita utama negara Pearly Tan-M Thinaah, yang menampilkan aksi konsisten untuk menewaskan pasangan Jepun, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto 21-16, 21-12.

Pasangan pilihan ketiga kejohanan itu akan berdepan beregu tuan rumah, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian, namun Pearly-Thinaah hanya menang sekali daripada empat pertemuan menentang pasangan China itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.