Syarikat air Johor solat sunat mohon hujan tangani pencemaran

Syarikat air Johor solat sunat mohon hujan tangani pencemaran

Ranhill SAJ berkata pencemaran bermula Rabu menyebabkan operasi loji terganggu apabila bacaan ammonia melepasi tahap selamat untuk pemprosesan air.

Solat Istisqa dipimpin Guru Takmir Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) Mohd Zunnurain Abdul Khohar dan disertai kakitangan Ranhill SAJ serta penduduk setempat.
PETALING JAYA:
Syarikat pembekal air Johor, Ranhill SAJ menganjurkan solat sunat Istisqa di Loji Rawatan Air (LRA) Sultan Ismail, Skudai sebagai ikhtiar memohon hujan bagi menangani krisis pencemaran ammonia yang menjejaskan sumber air mentah, sejak kelmarin.

Ketua Pegawai Eksekutif Ranhill SAJ, Anuar Abdul Ghani, berkata usaha spiritual itu bagi membantu memulihkan keadaan sumber air yang kritikal dan mengurangkan kesan gangguan bekalan kepada lebih 40,000 akaun pengguna di sekitar Johor Bahru serta Skudai.

“Pencemaran ammonia di sungai yang menjadi sumber air mentah kepada loji ini adalah satu isu serius.

“Dalam kepekatan tinggi, ammonia bukan sahaja mencemarkan air, malah boleh membawa risiko kesihatan kepada manusia dan memberi kesan kepada alam sekitar,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pencemaran itu dipercayai berpunca daripada sisa kumbahan, industri serta aktiviti pertanian tidak terkawal.

Katanya, Ranhill SAJ mengambil sampel air dari lokasi terjejas bagi menilai tahap pencemaran serta bekerjasama dengan agensi berkaitan untuk mengenal pasti punca dan tindakan mitigasi.

Solat Istisqa itu dipimpin Guru Takmir Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) Mohd Zunnurain Abdul Khohar dan disertai kakitangan Ranhill SAJ serta penduduk setempat.

Dalam pada itu, Anuar turut menggesa semua pihak bersama memelihara sungai dan alam sekitar daripada sebarang bentuk pencemaran demi kelangsungan bekalan air bersih dalam negeri.

Insiden pencemaran yang bermula pada Rabu menyebabkan operasi loji terganggu apabila bacaan ammonia melepasi tahap selamat untuk pemprosesan air.

Namun, hasil tindakan pantas pihak berwajib jumlah akaun pengguna yang terjejas berjaya dikurangkan kepada kurang 1,000 setakat hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.