Polis hormati hak berhimpun, akan jadi pemudah cara

Polis hormati hak berhimpun, akan jadi pemudah cara

Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail berkata polis komited menjadi pemudah cara bagi memastikan perhimpunan itu dilaksanakan dengan lancar dan selamat.

Mohd Khalid Ismail
Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail menyeru semua pihak bekerjasama mengekalkan suasana harmoni sepanjang perhimpunan berlangsung di Dataran Merdeka esok.
PETALING JAYA:
Polis menghormati hak awam menyuarakan pandangan dan berhimpun secara aman esok, kata Ketua Polis Negara, Mohd Khalid Ismail.

Tegasnya, pasukan polis komited menjadi pemudah cara bagi memastikan perhimpunan itu berjalan lancar, selamat dan menghormati ruang awam dikongsi bersama.

Beliau menyeru kerjasama semua pihak mengekalkan suasana harmoni sepanjang perhimpunan berlangsung.

“Peserta perhimpunan juga dinasihatkan sentiasa peka terhadap peruntukan undang-undang sedia ada dan memelihara ketenteraman awam.

“Kami berharap setiap suara yang dizahirkan disampaikan dalam suasana saling menghormati serta berlandaskan nilai kesopanan dan adab masyarakat,” katanya dalam kenyataan.

Perikatan Nasional (PN) menjangkakan sehingga 300,000 peserta menyertai perhimpunan di Dataran Merdeka esok berbanding sasaran 50,000 sebelum ini

Ketua Pemuda PN, Afnan Hamimi Taib Azamudden dilaporkan berkata, peserta akan berhimpun di empat kawasan, iaitu Sogo, Masjid Jamek, Masjid Negara dan Pasar Seni berbanding lima yang ditetapkan sebelum ini.

Peserta diminta berbaju hitam untuk menyertai himpunan yang dijangka bermula seawal 11 pagi itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.