Pengumuman PM: Awas scammer intai kesempatan

Pengumuman PM: Awas scammer intai kesempatan

Kurang dua jam dari pengumuman SARA RM100, penjenayah siber hantar mesej kononnya orang awam perlu 'semak maklumat' pada pautan samar.

scammers
Pakar gesa pihak berwajib agar selangi pengumuman bantuan daripada kerajaan dengan peringatan kepada rakyat supaya tidak terpedaya dengan pautan palsu.
PETALING JAYA:
Penjenayah siber dilihat mengambil kesempatan susulan pengumuman bantuan SARA RM100 semalam, dengan menyebarkan pautan yang menyamar sebagai saluran rasmi.

Pakar kriminologi, Shahul Hamid Abd Rahim, berkata golongan scammer mengintai kesempatan ketika orang awam menantikan khabar gembira.

“Scammer menunggu sebab akan jadi duit dan peluang mereka untuk cari jalan untuk alihkan duit itu kepada mereka. Jangan mudah-mudah tekan pautan,” katanya kepada FMT.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Rabu mengumumkan Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) akan diperluaskan kepada semua rakyat berumur 18 tahun ke atas dengan bantuan sekali beri RM100 melalui MyKad, yang akan memanfaatkan 22 juta rakyat melibatkan peruntukan RM2 bilion.

Kurang dua jam dari pengumuman itu, penjenayah siber hantar mesej melalui media sosial kononnya orang awam perlu ‘semak maklumat’ untuk melihat kelayakan, melalui pautan yang menyamar sebagai saluran rasmi.

Shahul mengingatkan pihak berwajib agar selangi pengumuman bantuan daripada kerajaan dengan peringatan kepada rakyat supaya tidak terpedaya dengan pautan palsu.

“Saya nak nasihatkan rakyat, sabar. Tunggu pengumuman kerajaan,” katanya.

Tangkap layar peringatan tentang pautan samar dalam satu kumpulan bual.

Aktivis anti-scam, Rahmat Fitri Abdullah, tidak menolak kemungkinan akan ada orang terpengaruh dengan iklan yang diwujudkan penjenayah siber.

“Scammer ini buat kerja lebih awal berbanding kerajaan yang mengumumkan, dan yang tekan pautan itu adalah mereka yang tak tahu tentang keselamatan digital,” katanya.

Rahmat menggesa kerajaan membuat hebahan secara meluas supaya rakyat tidak terjerat taktik penjenayah siber, termasuk mewujudkan aplikasi yang boleh menjadi pusat rujukan orang awam untuk membuat semakan dan pertanyaan.

“Pusat rujukan ini haruslah bersifat santai dan mesra rakyat. Jangan guna sistem yang terlalu canggih kerana ramai lagi rakyat yang tak pandai digital,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.