
Menteri Pertahanan, Khaled Nordin, berkata LMS pertama dijangka dapat diluncurkan pada April 2026 diikuti LMS kedua pada Jun dan yang ketiga pada Ogos tahun sama.
“Pembinaan LMS kelompok kedua merupakan perolehan pertama selepas pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) kerajaan dengan kerajaan (G2G) bagi perolehan produk pertahanan ketika lawatan rasmi sulung saya ke Turki pada Jun tahun lepas.
“Sudah tentu kemajuan pembinaan ini penting kerana ia menjadi kayu ukur kepada pendekatan perolehan baharu oleh kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pembinaan kapal itu di Istanbul Shipyard di sini pada Khamis.
Mengiringi beliau Panglima Tentera Laut Zulhelmy Ithnain dan delegasi kementerian.
Khaled berkata selepas peluncuran ke dalam air, pembinaan LMS berkenaan akan memasuki fasa penting iaitu pengintegrasian pelbagai sistem yang bakal digunakan di dalamnya sebelum Malaysia menerima keseluruhan tiga kapal berkenaan pada akhir 2027.
Beliau juga berkata perolehan tiga LMS ini akan disusuli Program Kolaborasi Industri (ICP) yang berpotensi memberi kesan besar terhadap industri pertahanan tempatan termasuk melalui pemindahan teknologi yang bakal dimuktamad sebelum akhir tahun ini.
Khaled berkata Turki, sebelum menjadi negara pengeluar produk pertahanan, turut melalui proses pemindahan teknologi dari negara lain sehingga berjaya membangunkan industri pertahanannya sendiri.
“Malaysia mempunyai aspirasi yang sama. Semoga hubungan baik serta kerjasama strategik antara Malaysia dan Turki berupaya melonjakkan industri pertahanan tempatan dan pada masa sama, mengukuhkan kedaulatan negara,” katanya.
LMS kelompok kedua milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu dibina berdasarkan reka bentuk kapal korvet kelas-Ada dibangunkan oleh STM yang berkemampuan melaksanakan pelbagai misi.
Terdahulu, Khaled menghadiri Pameran Industri Pertahanan Antarabangsa (IDEF) 2025 iaitu antara pameran berprestij di dunia anjuran Kementerian Pertahanan Nasional Turki (MOND) di Pusat Ekspo Istanbul.