
Tertuduh berusia 27 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu sebaik dibacakan di hadapan Hakim Aiza Khairuddin, lapor Sinar Harian.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, dia didakwa telah melakukan amang seksual fizikal terhadap dua kanak-kanak perempuan berusia lima dan enam tahun dengan cara memegang kemaluan mangsa.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum di bawah akta sama yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dihukum sebat, jika sabit kesalahan.
Lelaki itu turut berdepan pertuduhan melakukan amang seksual fizikal bukan fizikal dengan cara menunjukkan kemaluannya kepada dua beradik itu.
Dakwaan mengikut Seksyen 15(a)(i) AKSTK 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau keduanya sekali, sabit kesalahan.
Semua kesalahan itu dilakukan di dalam bilik tidur dan bilik air di sebuah rumah pada waktu malam antara 11 Mei dan dan 5 Julai lalu.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ali Hussain mencadangkan jaminan RM20,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin serta memohon syarat tambahan iaitu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan dilarang menganggu mangsa hingga kes selesai.
Tertuduh yang diwakili peguam Mohd Anif Rafih bagaimanapun merayu jumlah itu dikurangkan dengan alasan dia berpendapatan RM2,000 sebulan.
Mohd Anif berkata anak guamnya yang duda menyara kedua-dua mangsa dan anak kandung berusia dua tahun yang kini dipelihara ibunya di kampung.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin bersama syarat tambahan dipohon pendakwaan.
Sebutan semula kes ditetapkan 25 Ogos depan.