
Komander Operasi, Nurmala Sideli, berkata penilaian dilakukan pasukan Hazmat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin menggunakan peranti khas Gasmet FTiR dan GFG Multi Gas Detector.
“Hasil bacaan mendapati tiada kehadiran bahan kimia berbahaya di udara. Pemerhatian turut menunjukkan tiada kesan buih, tompokan minyak atau perubahan warna pada permukaan air laut,” katanya dalam kenyataan.
Kemalangan kira-kira 5.41 petang semalam di KM0.8 PLUS itu membabitkan dua treler dari arah Singapura menghala ke Malaysia.
Sebuah treler berwarna merah yang membawa muatan bahan kimia propilena glikol dilaporkan terjunam ke laut selepas melanggar belakang sebuah treler putih yang rosak di bahu jalan.
Treler putih itu membawa tangki ISO natrium hipoklorit, namun tidak membawa sebarang muatan ketika kejadian dan disahkan tidak bocor.
“Pemandu lori merah diberikan rawatan awal oleh Klinik Kesihatan Gelang Patah sebelum dibawa ke hospital. Pemandu lori putih tidak cedera, manakala seorang penunggang motosikal turut terbabas, tetapi tidak mengalami kecederaan serius dan telah meninggalkan lokasi.”
Nurmala berkata, tangki ISO dari lori yang terjunam ke laut kini di bawah kawalan Polis Marin dan Jabatan Laut, manakala lokasi kejadian diserahkan kepada PLUS dan polis selepas disahkan tiada bahaya.
Operasi yang bermula 5.57 petang semalam membabitkan 13 anggota dan dua jentera dari BBP Iskandar Puteri serta Larkin, tamat sepenuhnya 11 malam tadi.