Kita bertemu bukan untuk sokong protes, NGO beritahu Hamzah

Kita bertemu bukan untuk sokong protes, NGO beritahu Hamzah

Bersih, C4 Center, Ideas, Projek Sama, Pusat Komas, dan TI-M berkata ketidakstabilan politik selanjutnya akan membunuh reformasi institusi.

Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin mendakwa beberapa NGO, termasuk Bersih, telah mendekatinya dengan menyatakan rasa tidak senang dengan kerajaan sedia ada.
PETALING JAYA:
Enam NGO telah menolak asas perhimpunan anti-Anwar Ibrahim yang ditetapkan esok, selepas Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin menggunakan nama mereka semalam untuk mewajarkan protes itu.

Bersih, C4 Center, Ideas, Projek Sama, Pusat Komas, dan Transparency International Malaysia berkata ketidakstabilan politik selanjutnya akan membunuh reformasi institusi yang dimahukan.

“Oleh kerana tiada parti yang menang selamanya, reformasi institusi memberi manfaat kepada semua pihak dalam jangka masa panjang dan harus disokong oleh semua,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama.

“Atas dasar ini, kami menolak sebarang pertukaran kerajaan dalam tempoh pertengahan melalui pintu belakang, seperti Langkah Sheraton yang meruntuhkan politik negara di tengah-tengah pandemik Covid-19.

“Walaupun terdapat pertukaran kerajaan, pentadbiran baharu mungkin tidak mempunyai kejelasan atau komitmen untuk melaksanakan reformasi institusi, atau mungkin terlalu rapuh untuk melakukan sebarang perubahan yang bermakna.

“Kami mahu melihat pelaksanaan reformasi institusi yang akan menyediakan medan sama rata kepada semua parti pada PRU ke-16.”

Semalam, Malaysiakini melaporkan Hamzah pada sidang media mendakwa beberapa NGO telah mendekatinya menyatakan rasa tidak senang dengan kerajaan sedia ada.

“Mereka ini tidak puas hati, dan apabila tidak puas hati timbullah perasaan nak turun pada Sabtu ini,” katanya lagi.

“Rakyat bangkit sebab dah ada banyak sangat masalah terkumpul,” kata timbalan pengerusi Perikatan Nasional itu.

Bagaimanapun, NGO itu berkata pertemuan mereka dengan Hamzah pada 1 Julai tidak ada kaitan dengan mana-mana perhimpunan politik dan mereka hanya berusaha membentangkan cadangan mengenai reformasi institusi dan bukan untuk menyokong sebarang kempen politik.

Mereka menggesa pembangkang memainkan peranannya sebagai ‘persaingan berkesan’ dengan kerajaan untuk mendesak lebih banyak reformasi institusi.

“(Reformasi) bukan sahaja memerlukan kesungguhan kerajaan Madani, tetapi juga persaingan berkesan daripada pembangkang, termasuk empat negeri di bawah PN, dari segi idea dan komitmen, dengan kuasa mereka sepenuhnya.

“Hanya dengan semua pihak berlumba-lumba menawarkan reformasi, ia boleh digerakkan dan dikemudi dengan berkesan,” kata mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.