
Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata, kesesuaian cadangan itu harus dikaji lebih lanjut, memandangkan kualitinya sukar dikawal serta harganya yang tidak tetap.
“Agensi kerajaan (lain), antaranya di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), turut mempunyai program khusus berkenaan pembelian barangan basah,” katanya kepada FMT.
Lim berkata, kerajaan sebelum ini turut mengambil kira maklum balas orang ramai untuk menambah baik pelaksanaan bantuan bersasar itu dari semasa ke semasa.
“Pada 1 Mei 2025, kerajaan memperluas pembelian SARA merangkumi barangan kebersihan kelengkapan rumah, antaranya sabun pencuci pakaian, sabun pencuci lantai dan sabun pencuci pinggan mangkuk, selain barangan makanan asas, ubat-ubatan, kelengkapan persekolahan dan barangan kebersihan diri.
“Penambahan kategori barangan ini menjadikan 14 kategori barangan, daripada 13 kategori sebelum ini, merangkumi 90 ribu jenis barangan kesemuanya. Ini hasil maklum balas yang diterima semasa pelaksanaan SARA pada awal tahun ini,” katanya.
Sebelum ini, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) mencadangkan supaya kerajaan memasukkan barangan basah dalam senarai barangan SARA.
Cadangan itu susulan pengumuman khas Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam pada Rabu bahawa SARA akan diperluas kepada semua rakyat berusia 18 tahun ke atas menerusi pengagihan bayaran sekali beri RM100 menggunakan MyKad.
Ketua Pegawai Eksekutif Fomca T Saravanan berkata, peluasan itu wajar untuk manfaat secara menyeluruh kerana barangan basah juga merupakan keperluan asas rakyat, namun tidak dimasukkan dalam 14 kategori produk sebelum ini.