Pembangkang kemuka usul rujuk PM ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen

Pembangkang kemuka usul rujuk PM ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen

Usul itu dihantar kepada Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul di bawah Peraturan Mesyuarat 36 (12) kerana mengelirukan dewan.

dewan-rakyat
Pembangkang mendakwa Anwar Ibrahim telah mengelirukan Dewan Rakyat dalam isu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Batu Puteh bekait pendakwaan Dr Mahathir Mohamad. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pembangkang mengemukakan usul meminta supaya Perdana Menteri Anwar Ibrahim dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana didakwa cuba mengelirukan Dewan Rakyat berhubung isu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Batu Puteh.

Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) Takiyuddin Hassan berkata usul itu telah dihantar kepada Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul pagi tadi di bawah Peraturan Mesyuarat 36 (12) kerana mengelirukan dewan.

Usul itu susulan kenyataan Anwar yang Kabinet memutuskan tiada tindakan undang-undang diambil terhadap bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad berhubung peranannya dalam isu Batu Puteh disebabkan faktor usia.

“Apa yang mengelirukan dewan ialah kuasa siapa hendak menuduh ataupun dakwa seseorang, adakah kuasa perdana menteri?,” kata Ahli Parlimen Kota Bharu itu pada sidang media.

Siasatan terhadap Mahathir tahun lalu mendapati berlaku kemungkinan bekas perdana menteri itu bertindak secara sengaja mempengaruhi Jemaah Menteri memberhentikan permohonan semakan berhubung kedaulatan Batu Puteh pada 2018.

Keputusan itu dibuat walaupun ada pandangan perunding antarabangsa menyatakan permohonan itu mempunyai kemungkinan munasabah untuk berjaya.

RCI mengesyorkan laporan polis dibuat terhadap Mahathir, dengan menyatakan siasatan jenayah boleh dimulakan mengikut Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu.

Semalam, Mahathir berkata beliau tidak memerlukan sebarang imuniti termasuk faktor usia jika kerajaan menuduhnya bersalah.

Malah beliau sanggup berdepan tindakan undang-undang untuk membuktikan dirinya tidak bersalah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.