
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pihaknya sedang bekerjasama rapat dengan agensi penguat kuasa antarabangsa untuk mengesahkan keberadaan Jho Low secara tepat.
“Saya nak sebut bahawa KDN melalui polis sentiasa menjalankan kerjasama erat dan berterusan dengan pihak berkuasa agensi penguatkuasaan undang-undang antarabangsa. Setakat ini, dakwaan mengenai lokasi dan penggunaan pasport belum disokong sebarang fakta atau bukti sah dan sahih.
“(Laporan media itu) kekal hanya sebagai pelaporan oleh wartawan berkenaan sahaja,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia.
Saifuddin mengulas beberapa laporan media mendakwa Low, yang diburu pihak berkuasa antarabangsa dipercayai menetap di sebuah kawasan elit di Shanghai menggunakan pasport palsu Australia.
Pendedahan tersebut dibuat dua wartawan penyiasatan terkenal, yang sebelum ini membongkar skandal 1MDB, Bradley Hope dan Tom Wright dalam episod khas ‘Finding Jho Low: Live with Bradley Hope & Tom Wright’ pada Jumaat.
Skandal kewangan 1MDB yang terbesar dalam sejarah melibatkan USD7.65 bilion (RM35 bilion).
Sementara itu, Saifuddin berkata NSRC akan berpindah ke Cyberjaya September ini di mana Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia akan menjadi dua agensi tambahan menyertai pusat itu.
“Ini adalah ke arah pengukuhan lagi supaya supaya NSRC dapat beroperasi memenuhi fungsinya,” katanya.
Katanya, NSRC kini diterajui polis sepenuhnya dengan 139 perjawatan akan diisi menerusi penyusunan semula pusat tersebut.