Malaysia sasar tarif serendah mungkin, kata menteri

Malaysia sasar tarif serendah mungkin, kata menteri

Tengku Zafrul Aziz nafi laporan Bloomberg yang mendakwa Malaysia menyasarkan kadar tarif 20% dalam rundingan dengan Amerika Syarikat.

Tengku Zafrul Aziz berkata Malaysia tidak menyasarkan 20% bagi tarif Amerika Syarikat (AS), sebaliknya lebih rendah.
PETALING JAYA:
Malaysia menyasarkan kadar tarif serendah mungkin bagi eksport ke Amerika Syarikat, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Aziz.

Beliau menolak laporan terkini Bloomberg yang memetik sumber kerajaan yang Malaysia menyasarkan kadar tarif 20%, dengan menegaskan itu bukan hala tuju kerajaan.

“Hala tuju kita untuk mendapatkan kadar tarif serendah mungkin. Kita tidak menyasarkan 20%.

“Sasaran kita adalah lebih rendah daripada itu,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Sidang Kemuncak Semikonduktor ASEAN 2025 di sini, hari ini.

Tengku Zafrul turut memaklumkan rundingan dengan Amerika Syarikat masih berjalan, dengan tempoh kira-kira seminggu lagi sebelum tarikh akhir pada 1 Ogos.

“Perbincangan sedang berjalan. Malah, minggu ini pun kita masih berunding.

“Kita masih berada di landasan yang betul untuk memenuhi tarikh akhir itu,” katanya.

Ditanya sama ada beliau yakin dapat memperoleh kadar di bawah 20%, Tengku Zafrul menjawab: “Tidak, saya tidak yakin, tetapi itulah sasarannya. Saya bukan pihak yang menentukan kadarnya, seperti yang anda tahu.”

Ketika diasak sama ada Malaysia akan menawarkan sebarang konsesi khusus kepada Amerika Syarikat, beliau berkata butiran hanya didedahkan selepas rundingan selesai.

“Ia masih dalam proses rundingan. Kita akan dedahkan apabila rundingan dimuktamadkan.

“Saya sedang meneliti semua aspek yang boleh membantu kita menyelesaikan rundingan ini,” katanya.

Rundingan antara Malaysia dan Amerika Syarikat berlaku susulan pengumuman mengenai pengenaan tarif sebanyak 25% ke atas barangan Malaysia awal bulan ini.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata Malaysia tidak akan berkompromi dalam soal kedaulatan perdagangan, kepentingan negara atau dasar sosioekonomi, sama ada dalam rundingan dengan Amerika Syarikat mahupun syarikat multinasional.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.