Kes kematian pelajar tahfiz: Kertas siasatan dirujuk kepada AGC, kata menteri

Kes kematian pelajar tahfiz: Kertas siasatan dirujuk kepada AGC, kata menteri

Saifuddin Nasution Ismail berkata, polis telah buka semula kertas siasatan berhubung kematian seorang pelajar Tingkatan Empat pada 2013.

 Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman s
Mayat Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman ditemukan oleh penyelia asrama di sekolah tahfiznya pada 14 Dis 2013. (Gambar TikTok)
PETALING JAYA:
Kertas siasatan berhubung kematian seorang pelajar tahfiz pada 2013 telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Saifuddin berkata, polis telah membuka semula kertas siasatan terhadap kematian Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman susulan keputusan Mahkamah Koroner Kota Bharu pada Jun 2016 bahawa pelajar Tingkatan Empat itu dibunuh oleh individu tidak dikenal pasti.

Bagaimanapun, Saifuddin tidak menyatakan tempoh siasatan baharu itu dijalankan.

“Polis telah mengambil keterangan 14 orang saksi termasuk sambungan rakaman percakapan pegawai kimia dan doktor patologi yang melaksanakan bedah siasat,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat.

“Kertas siasatan Laporan Mati Mengejut telah dikemukakan ke Pejabat Ketua Unit Jenayah Am dan Ketenteraman Awam (Jabatan Peguam Negara) melalui Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Negeri Kelantan pada 28 April lepas untuk kajian dan tindakan lanjut.”

Beliau menjawab soalan diajukan Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) mengenai kesediaan kementerian membuka semula siasatan kes kematian Wan Ahmad Faris berikutan keputusan Mahkamah Koroner.

Mayat Wan Ahmad Faris ditemukan oleh penyelia asrama pada 14 Dis 2013. Hasil bedah siasat mengklasifikasikannya sebagai kematian mengejut dan tiada kaitan dengan unsur jenayah.

Pada Jun 2016, Mahkamah Koroner Kota Bharu memutuskan Wan Ahmad Faris telah dibunuh oleh individu tidak dikenal pasti.

Ibu bapa mangsa, Wan Abdul Rahman Wan Yaacub, 73, dan Ruhani Hussin, 69, sebelum ini dilaporkan berkata, mereka dimaklumkan polis menerusi surat bertarikh 31 Julai 2024 bahawa kes itu diklasifikasikan sebagai ‘No Further Action’ (NFA) sejak 7 Sept 2020.

Menurut surat polis itu, kes itu diklasifikasikan NFA atas alasan tiada saksi yang dapat mengenal pasti suspek dan keterangan yang ada berbentuk andaian semata-mata.

Ibu bapa mangsa seterusnya membuat rayuan kepada peguam negara agar kes tersebut dibuka semula, selain menghantar surat rayuan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada November tahun lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.