
Timbalan Menteri Pengangkutan Hasbi Habibollah berkata, pelan strategik itu dijangka dimuktamadkan pada hujung tahun ini.
Menurut Hasbi, ketika ini tiada peruntukan mengenai harga lantai atau tambang minimum bagi perkhidmatan e-Panggilan sebagaimana dalam garis panduan lesen perniagaan pengantaraan (LPP).
“Ini kerana mereka (sektor e-Panggilan) beroperasi dalam modul ekonomi pekerja gig berasaskan mekanisme pasaran terbuka yang ditentukan oleh permintaan dan penawaran,” katanya di Dewan Rakyat.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan menetapkan had siling komisen melalui garis panduan perkhidmatan e-Panggilan di bawah Garis Panduan Perkhidmatan e-Panggilan di bawah Perniagaan Pengantaraan pada 2018.
“Antaranya had siling komisen tidak melebihi 10% daripada tambang bagi kelas teksi, kereta sewa dan teksi mewah, manakala bagi kenderaan e-Panggilan secara bersendirian lain tidak melebihi 20% daripada tambang,” katanya.
Terdahulu, beberapa Ahli Parlimen termasuk Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) mempersoalkan sesi dialog Laporan Tahunan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) 2023 berhubung perlindungan sosial pekerja gig yang tidak mengambil kira kadar tambang lantai pemandu e-Panggilan dalam pindaan akta.
Suhaizan ketika membahaskan usul Laporan Suhakam 2025 berkata, tiada kadar yang mampan iaitu 70 hingga 80 sen sekilometer menyebabkan hampir 80% pemandu e-Panggilan terpaksa bekerja melebihi 10 jam bagi mencukupkan pendapatan mereka dan menampung kos operasi.
Katanya, keadaan ini menyebabkan pemandu ‘tersepit’ antara persaingan syarikat pengendali dengan penawaran harga lebih rendah untuk menarik pelanggan.
Jumaat lalu, dilaporkan Gerakan Badan Bertindak Sahabat e-Panggilan Malaysia menggesa Kementerian Pengangkutan untuk segera menguatkuasakan kawalan harga lantai bagi tambang e-Panggilan.
Timbalan pengerusinya Zailani Zainuddin berkata, gerakan itu masih tidak menerima sebarang maklum balas positif daripada pihak kementerian setelah menyerahkan memorandum pada Disember tahun lalu.
Pada 20 Dis 2024, media melaporkan lebih 1,200 pemandu di seluruh negara menuntut kerajaan menguatkuasakan kawalan harga lantai bagi tambang e-Panggilan secara serta-merta.