
“Adakah beliau kata kami menipu?” kata Tom Wright dalam hantaran di X.
Beliau merujuk kenyataan Saifuddin hari ini, polis tidak menerima sebarang bukti sahih dakwaan Low, atau lebih dikenali sebagai Jho Low, menetap di China menggunakan pasport palsu Australia.
Saifuddin berkata, pihak berkuasa Malaysia sedang bekerjasama rapat dengan agensi penguat kuasa antarabangsa untuk mengesahkan keberadaan Jho Low secara tepat.
Dalam satu video YouTube Jumaat lalu, Wright dan wartawan Bradley Hope berkata mereka mengumpul bukti daripada pelbagai sumber dan dokumen baru diperoleh yang menunjukkan Low tinggal di sebuah rumah agam di Green Hills, sebuah kawasan kejiranan mewah di Shanghai.
Mereka turut mendakwa, Low menggunakan pasport palsu Australia atas nama ‘Constantinos Achilles Veis’ untuk menyembunyikan identitinya.
Hope dan Wright turut mendakwa, Low kini bekerja sebagai ‘strategis belakang tabir untuk kerajaan China’.
Peranannya dikatakan termasuk membantu syarikat dikenakan sekatan dari China ‘mengharungi kesukaran di seluruh dunia’.
Hope dan Wright adalah bekas wartawan Wall Street Journal yang mendedahkan banyak laporan awal berkaitan skandal 1MDB dan bersama menulis buku ‘Billion Dollar Whale’ mengenai skandal dana berdaulat Malaysia itu.
Sementara itu, warganet turut mengkritik respons kerajaan terhadap pendedahan oleh Wright dan Hope.
Seorang pengguna berkata, Saifuddin sepatutnya bekerjasama rapat dengan Wright dan pasukannya.
Apabila seorang pengguna X lain mengatakan wartawan itu tidak mengemukakan bukti yang disahkan untuk dakwaan mereka, Wright merujuk kepada video YouTube dimuat naik minggu lalu.
“Adakah ‘disahkan’ bermaksud ia mesti datang daripada kerajaan?” soal Wright.