4 premis termasuk restoran diarah tutup kerana tahi tikus

4 premis termasuk restoran diarah tutup kerana tahi tikus

Majlis Bandaraya Pulau Pinang mengarahkannya ditutup hingga 4 Ogos kerana penemuan hurungan dan najis tikus di dapur serta di rak penjualan bahan makanan.

Penguat kuasa MBPP melakukan pemeriksaan di beberapa premis dalam Operasi Kebersihan di sekitar daerah Timur Laut. (Gambar MBPP)
GEORGE TOWN:
Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengarahkan empat premis perniagaan ditutup kerana penemuan hurungan dan najis tikus di dapur serta di rak penjualan bahan makanan, dalam operasi kebersihan pada Selasa lepas.

Menurut kenyataan hari ini, tiga restoran dan satu kedai runcit itu diarah tutup hingga 4 Ogos depan mengikut Undang-Undang Kecil 38 (1), Undang-Undang Kecil (Establisymen Makanan) MPPP 1991.

“MBPP menerusi Jabatan Pelesenan telah mengadakan Operasi Kebersihan dengan membuat pemeriksaan mengejut di lima premis perniagaan makanan di sekitar daerah Timur Laut.

“Satu lagi premis dikenakan kompaun mengikut Seksyen 47(1), Akta Jalan, Parit & Bangunan 1974 (Akta 133) kerana tidak menyenggara perangkap minyak (grease trap) dan menyalurkan sisa basuhan makanan ke parit awam,” menurut kenyataan itu yang dimuat naik di Facebook.

MBPP sentiasa menumpukan kepada faktor kebersihan premis terutama di ruangan penyediaan makanan, dapur dan penyimpanan bahan mentah, bertujuan memastikan keterjaminan penyediaan serta penjualan makanan memenuhi piawaian ditetapkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.