Umum cuti saat akhir beri kesan operasi PKS, kata Samenta

Umum cuti saat akhir beri kesan operasi PKS, kata Samenta

Presiden William Ng berkata kerajaan wajar menjalankan penilaian impak terhadap sektor PKS sebelum mengumumkan cuti yang tidak dijadualkan.

SME-PKS
Presiden Samenta William Ng berkata setiap cuti tambahan beri kesan kos sebenar kepada PKS dari segi produktiviti, bayaran lebih masa dan kelewatan penghantaran. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pengumuman cuti umum tambahan pada saat akhir beri kesan kepada peningkatan kos operasi perniagaan selain mampu menjejaskan produktiviti sektor pengeluaran, kata Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta).

Presiden William Ng berkata, pihaknya menghargai kepentingan simbolik sambutan Hari Malaysia, namun kerajaan wajar menjalankan penilaian impak terhadap sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sebelum mengumumkan cuti umum yang tidak dijadualkan.

William Ng
William Ng.

“Pengisytiharan cuti umum tambahan terutama yang diumumkan pada saat akhir, boleh mengganggu operasi PKS.

“Setiap cuti tambahan memberi kesan kos sebenar kepada PKS dari segi produktiviti, bayaran lebih masa dan kelewatan penghantaran,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, mengumumkan 15 Sept sebagai hari kelepasan am tambahan sempena sambutan Hari Malaysia.

Beliau berkata, ia bagi menghargai ukhwah perpaduan dan keistimewaan pembentukan Malaysia.

Sementara itu, Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berkata perkhidmatan awam tidak akan terjejas walaupun kerajaan mengisytiharkan cuti umum tambahan pada 15 Sept, sempena sambutan Hari Malaysia keesokannya.

Abdul Rahman Mohd Nordin
Abdul Rahman Mohd Nordin.

Setiausaha Agung, Abdul Rahman Nordin, berkata cuti tambahan itu hanya melibatkan urusan pentadbiran dan tidak menjejaskan sektor kritikal beroperasi 24 jam seperti kesihatan, imigresen dan keselamatan.

“Pejabat mungkin tutup sehari, tetapi bagi sektor penting dan kritikal, kerja tetap berjalan seperti biasa. Tiada isu besar memandangkan cuti tambahan hanya sehari iaitu pada Isnin, dan esoknya adalah cuti umum,” katanya.

Pada masa sama, Rahman turut menasihati penjawat awam tidak mudah terpengaruh hasutan pihak luar yang cuba memburukkan pentadbiran kerajaan.

“Kita perhatikan ada segelintir yang tidak habis-habis mahu kacau ganggu dan menghasut penjawat awam untuk berhimpun (merujuk himpunan 26 Julai).

“Tapi hakikatnya, penjawat awam tidak menghadapi masalah besar malah rakyat yang susah juga dibantu (kerajaan),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.