
Gesaan itu susulan pendedahan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 kelmarin, bahawa sebuah syarikat yang memperoleh kontrak daripada Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) dari Februari 2024 hingga Februari 2027 tidak memiliki sijil halal Jakim.
Ketua Pegawai Eksekutif T Saravanan berkata penganugerahan kontrak katering bernilai RM25.6 juta kepada syarikat yang gagal dalam penilaian teknikal menunjukkan terdapat kelemahan besar dalam sistem perolehan kerajaan, yang mesti diperbaiki segera untuk memulihkan keyakinan rakyat.
“Kerajaan perlu terbuka memaparkan senarai syarikat yang diberikan kontrak katering di hospital awam, berserta status halal mereka, sama ada di laman web rasmi kementerian atau papan kenyataan hospital.
“Ketelusan sebegini memberikan kuasa kepada pengguna iaitu pesakit, keluarga mereka, dan masyarakat umum untuk tahu siapa penyedia perkhidmatan dan untuk membuat aduan jika timbul sebarang keraguan atau masalah.
“Sejak dari awal lagi, mana-mana syarikat yang ingin membida tender sebegini wajib mempunyai sijil halal yang sah daripada Jakim atau badan berkuasa yang diiktiraf. Syarat ini tidak boleh dirunding,” katanya kepada FMT.
Kelmarin, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 yang dibentangkan di Dewan Rakyat mendapati jawatankuasa penilaian teknikal HCTM tidak mengesyorkan syarikat dikenal pasti sebagai 0267299-T kerana gagal dalam penilaian teknikal, disebabkan ketiadaan sijil halal dan sijil Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP).
Menurut jawatankuasa, syarikat itu juga gagal dalam penilaian teknikal kerana tidak berpengalaman serta tidak mempunyai bilangan pramusaji dan troli makanan yang mencukupi untuk pesakit.
Audit mendapati jawatankuasa penilaian teknikal menilai 12 pembida, dengan markah lulus ditetapkan pada 85% dan ke atas. Hanya dua pembida lulus penilaian teknikal, manakala 0267299-T adalah antara 10 syarikat yang gagal, hanya memperoleh 53%.
Bagaimanapun, syarikat itu akhirnya dipilih kerana memenuhi kriteria jawatankuasa penilaian kewangan, menurut laporan audit.
Mengulas lanjut, Saravanan menggesa kerajaan mengetatkan syarat dan keperluan semua tender katering terutama di institusi awam seperti hospital, selain pemantauan audit berkala yang tidak terhad pada semakan dokumen semata-mata.
“Mesti melibatkan pemantauan terhadap operasi harian, sumber bahan mentah, kaedah pengendalian makanan, malah tahap kefahaman pekerja mengenai amalan halal.
“Ini penting supaya tiada ruang untuk ketidakpatuhan berlaku selepas kontrak diberikan,” katanya, menegur proses perolehan tender kerajaan tidak bergantung pada harga terendah atau hubungan politik.
Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat juga mempersoalkan penganugerahan tender itu, walaupun syarikat berkenaan jelas tidak memenuhi kriteria.
“Bagaimana tender berkenaan diberikan kepada syarikat yang terang-terang tidak memiliki peralatan dan kakitangan yang sempurna untuk menjalankan operasinya?
“Kita khuatir proses tender ini melibatkan orang dalam,” kata Presiden Faizan Mohd Nor, menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Jakim menyiasat segera pendedahan itu.