Jemaah Menteri setuju bantu banduan teruskan hidup ‘tanpa halangan’

Jemaah Menteri setuju bantu banduan teruskan hidup ‘tanpa halangan’

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata pihaknya dalam proses meminda Akta Pendaftaran Jenayah dan Orang yang Tak Diingini.

Kerajaan pertimbang mekanisme bagi membolehkan individu yang tidak melakukan kesalahan baru dalam tempoh munasabah dianggap ‘tiada rekod’ dalam daftar penjenayah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jemaah Menteri bersetuju dengan cadangan pindaan Akta Pendaftaran Jenayah dan Orang yang Tak Diingini (Akta 7) bagi memberikan peluang kedua kepada individu yang pernah disabitkan kesalahan untuk meneruskan kehidupan tanpa halangan.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata pihaknya dalam proses meminda akta berkenaan.

“Antara cadangan pindaan Akta 7 adalah dengan memperkenalkan mekanisme ‘spent’ bagi membolehkan individu yang tidak melakukan kesalahan baru dalam tempoh munasabah yang akan ditetapkan, dianggap ‘tiada rekod’ dalam daftar penjenayah.

“Ia akan memberikan peluang kedua kepada individu yang pernah direkodkan untuk meneruskan kehidupan seperti menceburi bidang pekerjaan dan melanjutkan pelajaran di dalam dan luar negara,” menurut jawapan bertulis Dewan Rakyat.

Saifuddin menjawab soalan diajukan Wong Chen (PH-Subang) sama ada kementerian akan mempertimbangkan pemadaman rekod jenayah tidak ganas atau kecil untuk seseorang yang dibebaskan daripada penjara selepas lima tahun dengan rekod perangai baik.

Menurut Saifuddin, proses meminda Akta 7 akan mengambil kira pandangan pelbagai pihak berkepentingan menerusi sesi libat urus yang sedang dan akan terus dijalankan, sebelum cadangan pindaan dibentang di Parlimen.

Semalam ke atas Akta 7 diumumkan Saifuddin pada Ogos tahun lalu.

Katanya, lebih sejuta individu bergelut mendapatkan pekerjaan atau memulakan perniagaan kesan disenarai mengikut Akta 7.

Kementerian akan ‘membersihkan’ rekod individu tertentu bagi memudahkan individu tertentu diterima bekerja atau peroleh lesen perniagaan, namun langkah ini tidak terpakai secara menyeluruh, sebaliknya berdasarkan kes demi kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.