
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata pihaknya menjangkakan kehadiran antara 10,000 hingga 15,000 orang, lebih rendah berbanding 300,000 disasarkan penganjur.
Menurutnya, kesesakan jalan raya menghala ke pusat bandar dijangka berlaku pada hari terbabit.
“Namun, polis tidak akan melaksanakan sebarang penutupan jalan raya di pusat bandar, namun pemantauan dan rondaan tetap akan dilakukan,” katanya dalam kenyataan sambil mengesahkan telah menerima pemberitahuan antaranya dari Pemuda PAS.
Usuf turut mengingatkan peserta himpunan untuk mematuhi undang-undang serta tidak membawa sebarang objek tajam, barangan berbahaya, membawa dan membakar mercun dan membawa tulisan berunsur 3R.
“Mereka juga diingatkan tidak mengeluarkan ucapan berunsur fitnah, membawa kanak-kanak, merusuh dan melawan arahan yang diberikan pihak berkuasa.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap individu atau kumpulan mencetuskan kekacauan, rusuhan atau provokasi melampau,” katanya.
Sebelum ini Perikatan Nasional (PN) kini menyasarkan 300,000 orang menyertai itu, iaitu meningkat daripada 50,000 yang disasarkan sebelum ini.
Ketua Pemuda PN Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, peningkatan itu berdasarkan maklum balas ahli parti gabungan dan orang awam yang menyatakan komitmen untuk hadir berhimpun.
Perhimpunan itu akan disertai oleh gabungan NGO, mahasiswa dan juga masyarakat awam yang dijangka akan berkumpul di lima lokasi utama iaitu Masjid Negara, Pasar Seni, Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Masjid Jamek Kg. Baru dan Kompleks SOGO sebelum bergerak ke Dataran Merdeka.
Bercakap kepada FMT, Ketua Pemuda PN Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata pihaknya menghargai kerjasama polis itu.
“Setakat ini, kami jangkakan kehadiran peserta lebih ramai daripada apa yang polis jangkakan,” katanya.